mk-logo
Berita
Sebelum banjir surut, bayaran bantuan mangsa akan diberi - Zahid
Diterbitkan:  Dec 15, 2022 3:12 PM
Dikemaskini: 7:15 AM

Semua bantuan dan insentif yang diberikan oleh kerajaan terdahulu kepada mangsa banjir akan diteruskan termasuk pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bantuan itu akan diberikan kepada mangsa banjir yang berdaftar dan layak sahaja.

"Bayaran ini akan dilakukan dengan segera sebelum banjir surut dan sebelum mangsa pulang ke rumah masing-masing.

"Berdasarkan pengalaman yang lalu, kami dapati jumlah mangsa banjir yang berdaftar tidak sama dengan permohonan yang dibuat," katanya selepas mengadakan lawatan kerja dan menziarahi mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh, di Pasir Mas hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata langkah proaktif akan terus dilakukan kerajaan bersama agensi pelaksana bagi memastikan pengurusan banjir berjalan lancar dan teratur.

Sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan bekas Perdana Menteri mengumumkan bantuan sehingga RM10,000 kepada setiap keluarga yang terjejas akibat banjir di Terengganu dan Kelantan.

Beliau berkata bayaran itu meliputi sumbangan pembelian barangan keperluan berjumlah RM2,500, diskaun baik pulih kenderaan, rebat pembelian barangan elektrik RM500 dan bantuan baik pulih rumah bagi kerosakan akibat bencana itu.

Ahmad Zahid berkata kerajaan turut komited meneruskan mana-mana projek yang telah diluluskan oleh pentadbiran terdahulu seperti tebatan banjir yang pihaknya bukan sahaja mengkaji tetapi akan melaksanakannya dengan kadar segera dengan peruntukan yang disediakan oleh Kementerian Kewangan.

"Semasa sidang khas Parlimen pada 19 Dis depan, kerajaan akan membentangkan emolumen dan perbelanjaan projek-projek yang akan dibayar yang mana projek itu sedang berjalan," katanya.

Ahmad Zahid berkata berkaitan dengan jalan rosak di luar bandar, koordinasi telah dilakukan dan pelaksanaan akan disegerakan oleh kementeriannya berdasarkan kepada unjuran kawasan yang terlibat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS