Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri arah kajian untuk kurangkan kos talian telefon dan Internet

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat telco bagi menurunkan harga perkhidmatan telekomunikasi di negara ini.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta syarikat telco melakukan kajian bagi memenuhi aspirasi rakyat yang inginkan perkhidmatan telekomunikasi lebih murah.

“Saya sedang bincang dengan SKMM dan telco apa yang boleh kita buat untuk kurangkan kos. Ramai anak muda harapkan harga Internet dan talian lebih murah, jadi saya minta mereka kaji apa yang kita boleh lakukan sekarang.

“Mungkin dalam minggu yang akan datang saya ada pengumuman khas,” katanya dalam slot program ALFA yang bersiaran di Facebook Nasional FM hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Che Roslan Che Daud.

Selain itu, menurut Fahmi beliau juga sedang meneliti langkah terbaik yang boleh dilakukan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta mengatasi isu capaian rangkaian 4G dan 5G yang dihadapi di sesetengah kawasan di negara ini.

“Kita sedang bercakap tentang 5G, ada negara lain dah mula bincang tentang 6G. Jadi kita kena ada pergerakan yang lebih cepat dan sebagai menteri saya kena teliti apa yang boleh dilakukan untuk bantu proses itu,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi mengingatkan penghasil kandungan (content creator) di pelbagai platform sosial media supaya menghormati undang-undang negara ini ketika berkarya.

“Ada batas-batasnya. Kita raikan hak untuk bersuara, raikan hak untuk berekspresi tapi kita perlu hormat undang-undang kerana ada di dalam Rukun Negara...Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS