Zoo Negara mencatatkan hampir 600,000 pengunjung sehingga Disember ini sekali gus melepasi sasaran ditetapkan sebelum ini sebanyak 450,000 pengunjung sepanjang 2022.
Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly@Rahmat Amat Lana berkata peningkatan jumlah pengunjung itu berikutan ketibaan cuti sekolah selain keistimewaan Zoo Negara yang memiliki Pusat Konservasi dan Pameran Panda Gergasi.
"Lazimnya, memang ramai pengunjung datang ke Zoo Negara setiap hujung tahun dan Zoo Negara paling beruntung sebab kita ada panda gergasi.
"Kami juga menawarkan tiket masuk percuma sebagai hadiah hari lahir khas untuk semua warganegara Malaysia dan ia boleh diperoleh dalam tempoh 30 hari selepas tarikh hari jadi," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan RM200,000 daripada foodpanda Malaysia kepada Pusat Konservasi dan Pameran Panda Gergasi di Zoo Negara di Kuala Lumpur hari ini.
Rosly@Rahmat berkata Pusat Konservasi dan Pameran Panda Gergasi mempunyai empat ekor panda iaitu Xing Xing, Liang Liang, Sheng Yi dan Yi Yi.
Bagaimanapun, Yi Yi yang kini berusia hampir empat tahun akan dihantar pulang ke Pusat Konservasi Panda di China pada 20 Dis ini.
"Biasanya, anak panda hanya akan berada di Zoo Negara dalam tempoh dua tahun. Namun, disebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan China yang masih belum membuka sempadan, Yi Yi tidak dapat dihantar pulang pada masa ditetapkan," katanya.
Sementara itu, beliau menghargai sumbangan RM200,000 daripada foodpanda Malaysia kepada Pusat Konservasi dan Pameran Panda Gergasi serta berharap agar badan korporat lain turut mengikut jejak mereka.
"Kami gembira dapat terus bekerjasama dengan foodpanda Malaysia dan sumbangan ini memberi peluang kepada kami melindungi spesies haiwan ini sekali gus membolehkannya meninggalkan legasi untuk generasi akan datang," katanya.
Pengarah Kanan Komersial foodpanda Malaysia Jay Ar Juan berkata ini adalah tahun ketiga berturut-turut pihaknya memberi sumbangan kepada Zoo Negara sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka.
“Walaupun beralih kepada fasa endemik dan pengunjung zoo kembali meningkat, kami tetap komited untuk terus memberi sumbangan kepada panda gergasi kerana haiwan itu melambangkan jenama foodpanda dengan sifatnya periang, mesra dan bersemangat.
“Tiada cara lebih baik untuk kami melahirkan penghargaan terhadap panda ini selain membantu dan menyokong usaha pemuliharaannya,” katanya.
- Bernama