Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM arah AG berunding dengan Singapura isu Pulau Batu Puteh
Diterbitkan:  Dec 14, 2022 2:56 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mahu peguam negara, meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit dengan kerajaan Singapura berhubung kontroversi tuntutan terhadap pulau Batu Puteh.

Katanya, ini supaya tidak timbul sebarang masalah berhubung isu hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

"Kita minta Peguam Negara (Idrus Harun) bagi penjelasan tentang kontroversi tuntutan Pulau Batu Puteh yang sekarang telah dipindahkan ke Singapura oleh ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa) dan beberapa kesan sampingan.

“Saya minta (perkara) itu diteliti supaya ada rundingan lebih bermakna dengan Singapura,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet, di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan telah menggugurkan tuntutannya ke atas Pulau Batu Puteh kerana mematuhi perjanjian awal yang dibuat dengan Singapura.

Dia berkata jika Malaysia tidak melepaskan tuntutan itu, Indonesia akan mempunyai justifikasi yang sama dalam menegaskan pemilikan pulau Sipadan dan Ligitan, yang terletak di luar pantai Sabah.

Pada Oktober lalu, pasukan petugas khas untuk menyemak undang-undang berkaitan kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, Middle Rocks, dan South Ledge membentangkan laporan terakhirnya kepada kabinet bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Pasukan petugas itu dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara Mohamed Apandi Ali dan terdiri daripada peguam Malaysia yang mengendalikan kes itu dari 2016 hingga 2017, pengamal undang-undang, juruukur maritim dan wakil kementerian atau jabatan berkaitan.

Susulan itu, Ismail Sabri berkata kabinet bersetuju agar Malaysia meneruskan tindakan undang-undang di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung pertikaian berkenaan.

Dia juga berkata pasukan petugas itu telah mendedahkan bahawa terdapat kemungkinan kecuaian dan kesilapan di pihak Mahathir apabila Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap penghakiman ICJ pada 2008.

Selepas pembubaran Parlimen, Ismail berjanji untuk menyahklasifikasi laporan pasukan petugas itu.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan bahawa Pulau Batu Puteh kepunyaan Singapura, Middle Rocks kepunyaan Malaysia, dan South Ledge kepunyaan negeri di perairan wilayah di mana ia berada.

Pada Jun 2017, Malaysia memohon kepada ICJ untuk meminta tafsiran penghakiman itu.

Selain itu, Anwar berkata mesyuarat kabinet hari ini juga membincangkan beberapa hal tertangguh termasuk laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Dia berkata ahli jawatankuasa RCI, bekas Ketua Hakim Negara Mohamed Raus Sharif telah memberi taklimat dan perbincangan akan disambung Januari ini berhubung perkara berkait dengan apa yang berlaku di Tabung Haji serta cadangan untuk memperbaiki pengurusan institusi kewangan Islam itu.

RCI ditubuhkan pada Julai tahun lepas di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi TH.

Penubuhan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara berbangkit dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan TH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS