Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Buaya: Penduduk sekitar Sungai Belat, Sungai Kuantan dinasihat berwaspada
Diterbitkan:  Dec 14, 2022 12:37 PM
Dikemaskini: 4:37 AM

Penduduk di sekitar Sungai Belat dan Sungai Kuantan di Kuantan, dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mengambil tindakan sendiri jika terlihat buaya pada musim tengkujuh ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang Rozaidan Md Yasin berkata kejadian air pasang dan banjir yang menyebabkan air sungai melimpah, membolehkan reptilia itu keluar dari habitat asalnya.

Menurutnya kejadian limpahan Sungai Air Hitam, iaitu anak Sungai Belat dipercayai punca seekor buaya dikesan berada atas jalan di Kampung Air Hitam berhampiran Sri Damai di Kuantan pada Isnin lepas, dan gambar reptilia itu ditularkan di media sosial, semalam.

"Pemantauan pihak kami pada 13 Dis mendapati buaya itu tiada di lokasi terlibat. Bagaimanapun, penduduk dan pengguna jalan raya dinasihatkan untuk berwaspada kerana anak sungai itu adalah habitat kepada buaya," katanya menerusi kenyataan di Kuantan hari ini.

Rozaidan berkata selain Sri Damai dan Air Hitam, penduduk kawasan Inderapura, Sungai Isap, Kampung Belukar, Kampung Kurnia dan kawasan berhampiran tali air Kampung Razali serta Kampung Jawa juga perlu berwaspada.

Penduduk dinasihatkan mengelak daripada melakukan aktiviti berhampiran sungai dan memastikan terdapat jarak yang sesuai untuk memberikan masa dan peluang menyelamatkan diri jika terserempak dengan buaya.

"Berhati-hati jika menaiki bot dan seboleh-bolehnya posisikan diri di tengah-tengah bot serta buatkan bunyi bising kerana reptilia berkenaan menjadi kurang selesa sekali gus akan menjauhi bot.

"Jangan menghampiri sarang atau cuba menangkap anak buaya. Naluri keibuan buaya sangat kuat dan akan bertindak ganas jika diganggu," katanya.

Rozaidan juga menasihatkan penduduk untuk menggunakan lampu suluh semasa berada berhampiran air di waktu malam, bagi memudahkan mereka mengesan kehadiran reptilia itu yang matanya akan berkilau apabila disuluh.

Penduduk yang mengesan haiwan itu juga dinasihatkan agar tidak menghampirinya dan menghubungi segera Perhilitan di 09-5733811 atau hotline di 1-800-88-5151.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS