Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Pertemuan’ di Jakarta: Ismail Sabri arah peguam saman fitnah

Ismail Sabri Yaakob akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebaran “fitnah” yang mendakwa dia “merancang sesuatu” dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin di Jakarta, baru-baru ini. 

Dakwaan itu tersebar gara-gara ketidakhadirannya dalam mesyuarat majlis kerja tertinggi Umno pada 8 Disember lalu. 

“Kalau nak fitnah orang pun biarlah munasabah sikit. Kalau dalam rekod imigresen, saya tak keluar negara. Maknanya saya dalam negaralah. 

“Saya sudah pun mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pemfitnah,” katanya kepada Malaysiakini hari ini ketika ditanya berkaitan dakwaan itu.

Ismail Sabri dan Muhyiddin, gambar hiasan

Selain Ismail Sabri, Mahdzir Khalid yang juga naib presiden Umno tidak hadir dalam mesyuarat tersebut. 

Mesej di media sosial yang dikongsi berulang kali oleh individu yang tidak dikenali, mendakwa Ismail Sabri dan pemimpin Umno yang tidak hadir mesyuarat MKT Umno pada malam itu, berada di Jakarta dan “sedang merancang sesuatu.” 

Menggelarkannya sebagai “Langkah Jakarta”,  Muhyiddin juga dikatakan turut berada di sana. 

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan Mahdzir.

‘Makan nasi daun pisang dengan wartawan’

Sementara itu, Ismail Sabri berkata dia berada di Bera ketika mesyuarat MKT dan makan nasi daun pisang bersama seorang wartawan veteran ketika itu.

Lokasinya tidak didedahkan.

Pada sebelah malamnya pula, kata Ismail Sabri, dia berada di kawasan parlimennya di Bera, Pahang untuk perasmian perlumbaan kereta pacuan empat roda terkenal Rainforest Challenge International (RFC).

Dakwaan sedemikian bukanlah yang pertama kali.

Ismail Sabri dan beberapa pemimpin BN sebelum ini turut didakwa dalam pertemuan tertutup bersama parti dari gabungan lain sebelum ini. 

Khabar angin seperti itu tersebar ketika BN dilihat terbahagi kepada dua kem - antara mereka yang menyokong kerajaan perpaduan dengan PH, dan mereka yang tidak bersetuju.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS