Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerana PN, Hajiji boleh jadi ketua menteri - Wan Fayhsal
Diterbitkan:  Dec 13, 2022 7:48 PM
Dikemaskini: 11:48 AM

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyatakan rasa kecewa dengan tindakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meninggalkan Perikatan Nasional (PN).

Dalam temu bual radio dengan radio BFM hari ini, Wan Fayhsal mendakwa Pengerusi GRS Hajiji Noor menang kerana kedudukannya dalam gabungan PN.

“Sudah tentu kami kecewa. Kerana kita, dia menang dan menjadi ketua menteri Sabah,” katanya merujuk kepada Hajiji.

Diminta mengulas lanjut, ketua Pemuda Bersatu itu menyatakan bahawa calon-calon berkenaan menang di bawah tiket PN.

Menjawab soalan tentang kekuatan jentera tempatan GRS, ahli parlimen Machang itu berkata calon GRS merupakan calon Bersatu terlebih dahulu.

“Sudah tentu tetapi ingat jenama (dan) logo dan mereka adalah Bersatu dahulu sebelum mereka menjadi seperti hari ini, jadi dari sudut pandangan Bersatu, kami kecewa dengan Hajiji kerana pada dasarnya ia adalah tentang dia mahu kekal (jawatannya) sebagai ketua menteri.

“Itulah yang dia cuba lakukan sekarang. Kita tidak boleh menghalang mereka, mereka membuat langkah mereka. Kami perlu menyatakan kekecewaan kami dengan apa yang berlaku di Sabah,” kata Wan Fayhsal.

Mengenai sama ada tindakan ahli parlimen Sabah berkenaan melanggar undang-undang antilompat parti, Wan Fayhsal berkata PN merancang untuk menyampaikan surat kepada Speaker Dewan Rakyat yang baru dilantik, sebaik sahaja dipilih pada 19 Dis untuk menjelaskan pendirian mereka.

“Kita perlu tunggu dan lihat bagaimana speaker baru akan respons.

“Kami akan menulis surat kepada speaker untuk menjelaskan pendirian kami berhubung empat ahli parlimen yang pernah menjadi ahli Bersatu - yang kini mereka dakwa (bahawa) mereka ahli GRS.

"Saya tidak pasti sama ada mereka undur tarikh atau apa... Setahu kita, mereka adalah ahli Bersatu ketika bertanding di bawah GRS," katanya.

Walaupun GRS dikenali secara umum sebagai gabungan lima parti, bagi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan Suruhanjaya Pilihan Raya, ia adalah parti politik biasa.

GRS telah didaftarkan secara rasmi pada 11 Mac. Sebagai sebuah gabungan, GRS meletakkan 12 calon untuk PRU ke-15 dan enam daripadanya menang.

Sejurus selepas pilihan raya, GRS pada mulanya menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri tetapi sokongan mereka berubah hanya lima hari kemudian dan selepas Anwar Ibrahim mendapat jawatan perdana menteri.

Hanya pada 10 Dis sekumpulan 15 Adun GRS dan empat ahli parlimen mengisytiharkan secara terbuka bahawa mereka "keluar" Bersatu.

Ini telah membawa kepada dakwaan bahawa empat ahli parlimen itu melanggar undang-undang antilompat parti dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan perlu mengosongkan kerusi mereka.

Hari ini, seorang calon PRU ke-15 mengesahkan bahawa dia dan 11 calon lain telah secara diam-diam mendaftar sebagai ahli GRS pada Oktober.

Ini bermakna keahlian mereka dalam Bersatu ditamatkan secara automatik di bawah Fasal 10.2.3 perlembagaan parti itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS