Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas calon Bersatu Sabah sahkan sertai GRS pada Okt

Seorang calon untuk pilihan raya umum (PRU) ke-15 mengesahkan bahawa dia dan sebelas calon lain secara diam-diam mendaftar sebagai ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Oktober.

Ini bermakna keahlian mereka dalam Bersatu ditamatkan secara automatik di bawah Fasal 10.2.3 perlembagaan parti itu, walaupun sebelum pengundian 19 Nov, sekiranya perkara itu diketahui umum.

Bercakap kepada Malaysiakini, Nixon Abdul Habi, calon GRS untuk Semporna, berkata dia menjadi ahli GRS "lama sebelum pilihan raya umum".

Dia tidak pasti tarikh sebenar yang dinyatakan dalam permohonannya untuk menyertai GRS.

Walaupun GRS dikenali secara umum sebagai gabungan lima parti, pada rekod Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ia adalah parti politik biasa.

GRS didaftarkan secara rasmi pada 11 Mac. Sebagai sebuah gabungan, GRS meletakkan 12 calon untuk pemilihan 19 Nov yang mana enam daripadanya menang.

Sejurus selepas pilihan raya, GRS pada mulanya menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri tetapi sokongan mereka berubah hanya lima hari kemudian dan selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Hanya pada 10 Dis sekumpulan 15 Adun GRS dan empat ahli parlimen Bersatu Sabah mengisytiharkan secara terbuka bahawa mereka "keluar" Bersatu.

Ini telah membawa kepada dakwaan bahawa empat ahli parlimen itu melanggar undang-undang antilompat parti dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan perlu mengosongkan kerusi mereka.

Tidak perlu maklumkan kepada Bersatu

Ketika ditanya sama ada dia telah memaklumkan kepada Bersatu mengenai keputusannya meninggalkan parti itu, Nixon berkata tidak perlu berbuat demikian.

"Saya tidak hantar surat (ke ibu pejabat Bersatu). Kalau rujuk perlembagaan Bersatu, jelas tertera di situ.

“Kami memutuskan untuk menjadi calon GRS (sebelum pilihan raya),” katanya.

Selain daripada klausa yang disebutkan di atas mengenai beberapa keahlian parti, perlembagaan Bersatu juga menetapkan di bawah Fasal 10.2.2 bahawa seseorang itu berhenti menjadi ahli apabila "mengisytiharkan" bahawa mereka telah meninggalkan parti atau mengambil bahagian dalam pemilihan jawatan awam tanpa kebenaran parti.

Semalam, Ahli Parlimen Papar Armizan Mohd Ali - salah seorang daripada empat yang meninggalkan Bersatu - berkata dia juga merupakan ahli GRS.

Armizan berkata, perlembagaan GRS, tidak seperti Bersatu, membenarkan ahli menyertai lebih daripada satu parti. Armizan berkata dia adalah antara pengarang perlembagaan GRS.

Tiga lagi ahli parlimen yang terlibat ialah Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Komen terbaru Nixon dan Armizan nampaknya selaras dengan pandangan bekas menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang berpendapat keempat-empat mereka telah "keluar" dari Bersatu pada Oktober.


Laporan tambahan oleh Geraldine Tong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS