Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semak fakta: Penyebaran iklan palsu mengenai bantuan kerajaan
Diterbitkan:  Dec 13, 2022 4:16 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Sejak kerajaan baru ditubuhkan bulan lalu, tular hantaran di media sosial yang mengiklankan pelbagai bentuk bantuan tunai oleh kerajaan.

Bagaimanapun, kesemua hantaran tersebut disahkan sebagai palsu oleh kementerian berkaitan.

Iklan palsu itu termasuk tuntutan bantuan makanan bernilai RM100, bantuan tunai di bawah program Bantuan Sara Hidup dan kebenaran untuk mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Salah satu hantaran memaparkan gambar Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan tunai sehingga RM1,000 bagi keluarga yang mempunyai anak yang masih bersekolah.

Kesemua hantaran itu disahkan palsu oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menurut unit pemeriksa fakta, MyCheck, terdapat iklan palsu mengenai bantuan tunai kerajaan yang disebarkan sejak beberapa minggu lalu.

Sebahagiannya dijadikan sebagai umpan klik (clik-bait) supaya pengguna media sosial menyertai kumpulan Telegram atau laman sesawang lain, lapor MyCheck.

MyCheck meneliti video tular dan akaun pengguna TikTok sebelum menemukan pautan ke laman sesawang rezekiterkini.com iaitu laman bagi menghebahkan pelbagai bentuk bantuan untuk rakyat.

Rezekiterkini mendakwa laman itu adalah sumber maklumat untuk program kebajikan kerajaan.

Laman itu menggunakan gambar Anwar untuk mengiklankan pelbagai bentuk bantuan kerajaan, termasuk untuk warga emas dan orang kurang upaya, serta bantuan untuk keluarga - namun tiada satu pun yang telah diumumkan oleh kerajaan baru.

Salah satu hantaran tular dimuatnaik oleh rezekiterkini di TikTok ialah video yang mendakwa kerajaan pimpinan perdana menteri Anwar Ibrahim menawarkan bantuan RM300 kepada keluarga yang memiliki anak yang masih bersekolah.

Video itu telah ditonton lebih daripada 700,000 kali di TikTok.

MyCheck mendapati pautan yang dilampirkan pada video TikTok menambahkan pengguna ke kumpulan Telegramnya.

Malah, MyCheck mendapati, bantuan RM300 untuk keluarga yang mempunyai anak yang bersekolah adalah program sedia ada yang ditawarkan oleh kerajaan Selangor kepada keluarga dalam kumpulan berpendapatan B40.

Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) Selangor, dilancarkan pada Julai dan menawarkan bantuan kepada keluarga yang layak sebanyak RM300 sebulan selama setahun.

Akaun media sosial lain yang berulang kali berkongsi maklumat palsu mengenai bantuan kerajaan sejak beberapa minggu lalu termasuk akaun Facebook 'Semakan & Permohonan Online' dan 'Permohonan Online'.


Malaysiakini adalah sebahagian daripada pakatan pemeriksa fakta, JomCheck, yang terdiri daripada badan media, ahli akademik dan masyarakat sivil.

Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permintaan untuk menyemak fakta dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian tip 017-477 6659 atau melalui pautan ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS