Kementerian Pengangkutan akan menggantung permit operasi sebuah syarikat lori sementara untuk audit berikutan kemalangan tragis yang melibatkan salah satu kenderaan mereka.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke di laman Facebook hari ini, ketika merakamkan ucapan takziah kepada keluarga yang mengalami kehilangan itu.
“Saya berasa amat simpati dengan keluarga mangsa kemalangan ini yang kehilangan bayi sulung mereka. Salam takziah kepada keluarga.
“Saya telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengambil tindakan segera terhadap pemandu dan syarikat tersebut.
“Permit operasi syarikat lori ini akan digantung sementara untuk audit ke atas semua lori mereka. Saya tidak akan berkompromi dengan pemandu dan syarikat yang membahayakan orang ramai di atas jalanraya,” katanya.
Loke merujuk kepada laporan berita mengenai kemalangan baru-baru ini di Gerik, Perak yang juga membabitkan beberapa kenderaan penumpang dan sebuah lori.
Menurut Kosmo!beberapa kenderaan lain turut terlibat dalam kemalangan itu dengan muatan lori tersebut terjatuh ke atas jalan raya.
Menerusi kumpulan Facebook Dashcam Owners Malaysia, seorang lelaki yang juga pemandu kereta meluahkan rasa berang dengan tindakan cuai pemandu lori yang menjadi punca kepada insiden kemalangan tersebut.
Tular di media sosial luahan mangsa kemalangan itu yang kesal dengan sikap pemandu lori didakwa membawa muatan melebihi had sehingga menyebabkan muatan tersebut terjatuh dan menimpa kenderaan lain.
Semalam, Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood dilaporkan berkata polis telah menahan pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan membabitkan beberapa kenderaan di KM69 Lebuhraya Timur-Barat (Gerik-Jeli) pada 29 Okt lepas itu, ketika lelaki itu melalui sekatan jalan raya Batu Melintang di Jeli, Kelantan, pada hari sama.