Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada kejadian culik, ambil organ manusia di Johor - Polis
Diterbitkan:  Dec 11, 2022 9:03 PM
Dikemaskini: 1:03 PM

Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) hari ini menafikan dakwaan berlakunya kejadian penculikan, mengambil dan menjual organ manusia kepada pihak hospital di Johor, Oktober lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Raub Selamat berkata satu laporan polis diterima kira-kira 12.27 tengah malam tadi berhubung satu hantaran video berunsur fitnah yang dimuat naik menerusi satu akaun media sosial.

"Kenyataan itu adalah palsu dan berunsur fitnah dan kita tidak menerima sebarang laporan berhubung penculikan dan penjualan organ seperti didakwa dalam hantaran tersebut.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dan tidak menyebarkan sebarang kenyataan yang tidak pasti kesahihannya," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook Polis Daerah JBS, hari ini.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 11 saat menerusi platform TikTok yang mendakwa terdapat kejadian penculikan, mengambil dan menjual organ manusia di hospital di Johor, sejak awal Oktober.

Raub berkata kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000, setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, kesalahan juga boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan iaitu penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS