Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Mengatur strategi memenangkan 'perang komunikasi'

ULASAN | Antara sebab kerajaan PH tumbang pada 2020 lalu adalah ekoran kegagalan Dr Mahathir Mohamad membina naratif baru yang menjadi kerangka kepada Malaysia Baru.

Sekarang, kita semua sedar bahawa Mahathir memang tiada niat pun untuk menjayakan kerajaan PH pada waktu itu. Namun, kita masih harus mengambil iktibar berkenaan apa yang akan terjadi apabila tiada fokus yang secukupnya kepada soal naratif dan komunikasi.

Kita sedia maklum kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim baru saja mengangkat sumpah, masuk pejabat buat kali pertama, dan sebagainya. Tidak munasabah kalau kita mengharapkan pencapaian yang luar biasa dalam tempoh masa yang terlalu singkat.

Namun, soal naratif dan jentera komunikasi sebaiknya sudah menjadi antara perkara paling utama yang diberikan perhatian serta pertimbangan serius oleh kerajaan dan PH.

Ada persepsi bahawa - berbanding dengan parti politik lain - pelaburan dan keutamaan yang diberi oleh PH kepada bidang komunikasi boleh dikatakan kurang.

Sebagai contoh, jika Parti A sanggup membelanjakan ratusan juta ringgit untuk memenangi perang media sosial, manakala perbelanjaan Parti B setakat RM50,000 sebulan, mungkin kita sudah boleh mengandaikan apa akan terjadi pada penghujung cerita.

Demi memastikan keutuhan kerajaan perpaduan dan kejayaan masa depan, peneraju kerajaan sekarang sebaiknya mengambil langkah-langkah segera untuk memastikan gerak kerja komunikasi dan pembinaan naratif yang mantap, dinamik, dan berkesan.

Tak boleh cara lama

Tumpuan pertama seharusnya diberi kepada membawa bersama sebuah pasukan yang diberi pimpinan, pengurusan, dan sumber-sumber yang terbaik untuk melaksanakan tiga gerak kerja utama: pembentukan strategi dan naratif, penghasilan bahan komunikasi, dan pengedaran bahan komunikasi.

Mengikut desas-desus di media sosial, pihak laskar siber yang pro-PH memang mempunyai kemahiran, kepandaian, dan kebijaksanaan dalam soal perang persepsi.

Yang membezakan mereka dengan pihak lain ialah dari segi pendanaan dan pengurusan.

Persepsinya ialah gerak kerja laskar siber lain diuruskan dengan lebih teratur, dan dibayar upah pada kadar yang jauh lebih tinggi berbanding pihak yang pro-PH.

Sudah tentu kita tidak mahu kembali ke zaman kerajaan yang terdahulu apabila laskar siber dibayar berjuta-juta ringgit oleh kerajaan untuk memaki-hamun pembangkang, menghasut kebencian dan membakar semangat perkauman sesama rakyat.

Namun, kalau kita betul-betul ingin membawa mesej perpaduan, membina budaya politik baru, dan memberi keyakinan penuh kepada rakyat bahawa kerajaan ini benar-benar berjiwa rakyat, tidak mungkin kita boleh terus dengan cara gerak kerja lama yang bersifat ad hoc serta kurang penyelarasan dan pendanaan.

Apa yang diperlukan kerajaan sekarang ialah pasukan komunikasi profesional, yang diurus pula secara profesional.

Terdapat pelbagai sumber dan jabatan sedia ada dalam kerajaan yang berkaitan dengan komunikasi yang boleh dioptimumkan dan dijadikan ‘rumah’ (markas) bagi penggerak komunikasi dengan rekod yang memang sudah terbukti.

Sekali lagi, kita tidak ingin kembali ke zaman jabatan-jabatan komunikasi dijadikan tempat bercokol terlalu ramai lantikan politik yang dibayar pada kadar terlalu tinggi semata-mata untuk melakukan kerja yang kurang murni.

Namun, mungkin tindakan Mahathir menutup terus jabatan-jabatan itu adalah langkah yang terlalu jauh kepada arah lain pula. Mungkin yang diperlukan kerajaan ialah pendekatan jalan tengah.

Kerja komunikasi bermula dengan pembentukan strategi. Kerja ini memerlukan persefahaman yang mendalam berkenaan matlamat-matlamat dan hala tuju besar kerajaan.

Elak budaya nak menjawab saja

Berdasarkan persefahaman ini, pasukan komunikasi bertanggungjawab membina kerangka strategi komunikasi yang menyeluruh, termasuk menghalusi naratif yang mesti dibawa secara konsisten di semua peringkat.

Kerangka strategi komunikasi berkait rapat dengan sifat dan watak negara bangsa yang ingin dibina.

Matlamat utama adalah untuk menentukan emosi pertama yang dirasai serta perkara pertama yang difikirkan oleh rakyat apabila teringat akan kerajaan baru.

Ada yang memandang remeh sudut ini, tetapi bagi majoriti rakyat Malaysia, yang menentukan undi adalah: persepsi rakyat terhadap kerajaan semasa.

Strategi mesti dibentuk pada peringkat jangka masa panjang, selain peringkat jangka masa pendek juga.

Mesej besar yang dibawa - contohnya, kaitan perpaduan dengan kemakmuran - harus konsisten dari Jan hingga Dis.

Dari bulan ke bulan atau minggu ke minggu, jentera komunikasi boleh lebih menumpu kepada aspek-aspek tertentu, dengan cara yang bersinergi dengan mesej besar.

Satu unsur penting bagi naratif besar ialah untuk mengelakkan sama sekali budaya counter.

Apabila kita terlalu obses dengan menjawab setiap tuduhan, serangan, dan fitnah, maksudnya pihak lawan sudah mengawal naratif berkenaan, dan kita pula terpaksa dibawa mengikut arus mereka.

Sepatutnya, kita yang menentukan naratif, dan memaksa lawan menuruti, mengekori dan menjawab naratif tersebut dan ia sepatutnya bersifat melampaui (overwhelm atau overrun) naratif lawan.

Contohnya, kalau kita selalu asyik menjawab tomahan saja, wacana awam akan didominasi dengan debat berkenaan.

Misalnya naratif berkaitan kedudukan Melayu yang kononnya tercabar, keangkuhan DAP, adakah benar DAP mempunyai kaitan rapat dengan komunis, gaji Anwar sebagai penasihat ekonomi Selangor, kasut perdana menteri, dan sebagainya.

Memang ada yang kedengaran lucu dan merepek untuk dibaca, namun itulah naratif yang ‘dibeli’ oleh sesetengah kelompok yang taasub.

Dengan strategi komunikasi yang baik, wacana awam boleh didominasi dengan agenda kerajaan seperti petani Melayu mendapat bantuan RM60 juta hasil rundingan Anwar, gaji menteri dikurangkan 20 peratus, Anthony Loke membuat lawatan mengejut ke LRT secara rahsia, dan sebagainya.

Apabila strategi jangka masa panjang dan pendek sudah ditentukan, langkah seterusnya ialah memastikan penghasil kandungan (content creator) yang terbaik ditugaskan (dengan kadar bayaran yang sewajarnya) untuk menghasilkan video, audio, gambar-gambar, dan teks-teks yang sepadan.

Kualiti content creator itu akan membentuk persepsi rakyat, dan persepsi rakyat akan menentukan sama ada kerajaan ini akan mentadbir satu penggal atau lebih.

Peringkat terakhir adalah pengedaran. Setiap bahan komunikasi harus dibuat khas dan/atau diubah suai sebaiknya bagi media massa dan setiap platform media sosial, dalam setiap bahasa utama.

Versi-versi khas untuk platform seperti WhatsApp dan Telegram juga mesti disediakan.

Pasukan komunikasi kerajaan mesti melibatkan individu dengan jumlah pengikut yang besar di media sosial, selain individu yang aktif dalam kumpulan WhatsApp dan Telegram (termasuklah kumpulan taman perumahan, masjid, surau, persatuan dan sebagainya).

Pendekatan ini dapat lebih menjamin mesej yang ingin dibawa betul-betul sampai ke setiap lapisan masyarakat.

Lantikan Anwar sebagai perdana menteri merupakan satu peluang besar untuk PH meninggalkan corak politik perkauman yang berasaskan hasutan serta sentimen sempit.

Budaya ini digunakan pihak luar untuk memecahbelahkan rakyat, menghalalkan rasuah yang luar biasa, dan membantutkan pembangunan negara.

Namun, PH hanya akan mampu menggantikan corak politik tersebut jika berjaya membina suatu naratif baru yang lebih kuat, segar, dan meyakinkan.

Kalau PH gagal, kelompongan itu akan segera diisi semula dengan budaya lama, sama seperti yang berlaku ketika Mahathir menjadi perdana menteri dan kerajaan diasak dengan isu Statut Rom serta Icerd.

Semoga, para pemimpin kerajaan hari ini akan memilih jalan yang lebih baik – demi pertiwi.


NATHANIEL TAN ialah perunding komunikasi yang juga bekerja dengan Projek #BangsaMalaysia. Twitter: @NatAsasi; dan e-mel: [email protected].

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS