Situasi yang dialami Umno kini "tidak mudah" namun bagi Hishammuddin mereka perlu terus berjuang dan melangkah ke hadapan.
Bekas naib presiden Umno itu juga enggan menuding jari menyalahkan sesiapa ekoran keadaan yang dialami parti itu termasuk kegagalan mereka mencapai kemenangan di Padang Serai baru-baru ini.
Hishammuddin juga secara tidak langsung menjawab tanda tanya mengenai pendiriannya selepas berdiam diri agak lama sejak BN memberikan sokongan kepada PH untuk membentuk kerajaan selepas PRU ke-15.
Dikaitkan dengan tokoh yang menolak kerjasama dengan PH, Hishammuddin hari ini menegaskan dia kekal istiqamah bersama Umno "dulu, kini dan selamanya."
Pun begitu bekas menteri pertahanan terbabit memberitahu Umno perlu memahami dinamisme sokongan pengundi parti itu dalam dua pilihan raya yang diadakan baru-baru ini, iaitu di Padang Serai dan DUN Tioman.
"Saya sedang mengkaji dan meneliti keputusan bagi dua kerusi tersebut untuk melihat mood serta sentimen rakyat khususnya arah sokongan yang diberikan.
"Penting untuk memahami dinamik sokongan tersebut terutama dalam mengusahakan kelangsungan dan masa depan parti.
"Walaupun tidak mudah, kita harus terus melangkah ke hadapan untuk berjuang," katanya.
Doa tugas kabinet dipermudahkan
Ahli parlimen Sembrong itu juga menegaskan kelangsungan Umno banyak bergantung kepada ahli akar umbi yang selama ini setia kepada perjuangan serta penerimaan rakyat terhadap BN.
"Ini mesti diberi perhatian, kerana saya percaya dalam perjuangan jangan sesekali kecewakan mereka yang selama ini setia kepada parti," katanya.
Pada masa sama Hishammuddin juga mengucapkan selamat maju jaya kepada pemimpin BN yang menyertai kabinet Anwar Ibrahim.
Katanya dia memahami kerajaan sekarang perlu menangani serta menyelesaikan banyak isu serta cabaran yang amat mendesak demi rakyat dan negara.
Antaranya, tambah anak kepada bekas perdana menteri itu, isu kos sara hidup dan kedudukan ekonomi semasa.
"Saya mendoakan agar segala ikhtiar oleh mereka yang diberikan amanah serta tanggungjawab, dipermudahkan," katanya.