Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Tak adil terlalu memainkan isu tahanan depoh imigresen Kimanis

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini mendakwa beberapa tahanan di Depoh Imigresen Kimanis, yang dilaporkan merayu bantuan, telah memasuki fasiliti itu dalam keadaan fizikal tidak sihat.

Semasa sidang media di ibu pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya, Saifuddin (gambar atas) berkata adalah tidak adil bagi pihak yang memainkan isu itu tanpa mengambil kira beberapa faktor.

"Saya telah diberi maklum oleh jabatan tentang hal ini. Kadang-kadang kalau kita overplay (terlalu memainkan) isu ni tak adil juga.

"Pertama kita tengok subjek yang terlibat apakah dia seorang rakyat biasa yang mengamalkan gaya hidup sihat. Lepastu adakah dia juga terikut atau terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat yang menyebabkan keadaan fizikal dia kurus.

"(Berat) susut tu bukan sebab dia masa ditahan, susut sebelum masuk lagi. Tidak berpunca daripada ketika dia ditempatkan di pusat tahanan," katanya.

Saifuddin menjawab laporan media semalam berdasarkan klip video berdurasi 90 saat yang disiarkan di Facebook di mana seorang lelaki yang mengaku dirinya sebagai tahanan di Depoh Imigresen Kimanis, membuat rayuan untuk dirinya dan orang lain agar dibebaskan.

Rayuan itu dibuat kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan Pengarah Imigresen negeri Sh Sitti Saleha Habib Yusoff.

New Straits Times melaporkan bahawa lelaki itu berkata dia telah ditahan selama setahun dan yang lain selama dua atau tiga tahun, dengan makanan dan ubat yang tidak mencukupi, membawa kepada keadaan mereka yang kurus kering.

Klip video itu juga dilaporkan menunjukkan beberapa gambar lelaki yang mukanya kabur tetapi dengan tulang kolar dan rusuk yang menonjol.

Ditanya sama ada dia akan mengarahkan Jabatan Imigresen menyemak keadaan di depoh Kimanis dan lain-lain, Saifuddin menegaskan ia adalah satu proses yang berterusan.

"Ia usaha berterusan bermaksud keberadaan jabatan ini bukan hanya di bilik dingin. Mereka komited dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dan mereka hadir pada saat yang diperlukan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS