Beberapa jam selepas dipecat daripada Umno oleh Majlis Tertinggi parti, bekas ketua bahagian Umno Ketereh Annuar Musa pagi ini berkongsi hantaran di media sosial berhubung mimpinya melihat "rumah pusaka terbakar".
Kata Annuar, dia sayang rumah itu dan hanya cuba untuk memadamkan kebakaran namun "ditarik keluar" dan kini hanya mampu melihat kebakaran itu dari luar.
"Malam Jumaat, saya bermimpi rumah pusaka saya diami terbakar. Saya syak ada main switch (suis utama) dah short circuit (litar pintas) atau wayarnya terputus.
"Ramai penghuni rumah sudah lari meninggalkan rumah yang terbakar, atau dibakar, wallahualam.
"Saya sayang rumah itu. Saya cuba memadam kebakaran supaya jangan lebih ramai penghuninya lari. Ketika api masih marak, dan ramai yang terus lari meninggalkan rumah, tiba-tiba saya ditarik keluar dari api yang membakar.
"Kini saya hanya mampu melihat kebakaran dari luar," katanya sambil menambah bahawa dia kini hanya mampu berdoa.
Perkongsian itu dibuat beberapa jam selepas Majlis Tertinggi Umno mengadakan mesyuarat malam tadi memutuskan untuk memecat Annuar dan dua ketua wanita bahagian.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi, ketiga-tiga mereka dipecat kerana "mencemuh parti" dan berkempen untuk parti lawan semasa pilihan raya umum baru-baru ini.
Difahamkan dua yang lain merupakan ketua Wanita Umno bahagian Arau dan Maran.
Annuar, yang merupakan bekas menteri Komunikasi dan Multimedia, dikenali sebagai pengkritik kuat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Pagi semalam, Annuar juga menyiarkan satu lagi mesej di Facebook Storynya.
Ahli politik veteran itu berkata, dia teringat satu kejadian apabila seorang rakan sekolah dicalit hidungnya dengan tahi ayam oleh senior ketika sedang tidur.
Ketika cuba mengenal pasti punca bau itu, rakannya itu membuang semua pakaiannya namun tidak menyedari tahi ayam di hidungnya.
"Dihidu semua benda, semua berbau belaka padanya dan dibuang jauh-jauh. Yang dia tak sedar ialah tahi ayam atas hidungnya sendiri. Tapi dia mencari salah pada orang dan tempat yang lain," katanya.