PULASAN | Diam tak diam, tempoh dua minggu yang diberikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan untuk mencari jalan melegakan tekanan kos sara hidup rakyat di negara ini semakin menghampiri.
Barangkali akan ada orang yang terasa tempoh dua minggu itu singkat dan sebentar saja. Atau tidak ramai yang mengambil endah pun kerana masing-masing tidak berada dalam kelompok yang terhimpit tersebut.
Pada masa sama tempoh dua minggu yang diberikan Anwar itu boleh menjadi terasa sangat lama apabila orang yang terbabit sentiasa menghitung hari menanti, apakah khabar yang akan datang sekali gus mengurangkan tekanan yang dihadapi.
Dalam tempoh menunggu itulah kita - dari semasa ke semasa - terjumpa pelbagai kisah yang menyentuh jiwa. Orang yang terpaksa menumpang tidur di masjid kerana tidak mampu menyewa rumah, misalnya.
Atau kerana tiada tempat tinggal serta kekangan kewangan, ada yang sanggup berteduh di premis dobi layan diri yang memang beroperasi 24 jam sehari.
Itu belum lagi kisah ibu bapa yang selalu cemas apabila ada mesej datang melalui WhatsApp kerana ia mungkin soalan daripada seorang guru yang bertanya tentang yuran PIBG anak mereka.
Baru-baru ini tular pula kisah seorang lelaki kurang upaya yang disaman pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana sebab yang sangat lucu. Dia dihukum oleh pihak terbabit kerana memarkir keretanya di petak OKU!
Fahami juga hakikat bahawa kesempitan hidup ini bukan saja dialami oleh sesetengah orang. Menyedari bahawa rakyat terbanyak ialah golongan kelas pertengahan dan B40, selamat untuk diandaikan bahawa kesempitan yang dialami itu merata sifatnya.
Ia menjadi lebih perit jika pihak yang menderita itu mencari rezeki dan tinggal di kawasan bandar.
Selain kos sara hidup yang secara relatif lebih tinggi, hampir semua orang juga sedang diperas poket masing-masing oleh - tidak lain dan tidak bukan - pihak kerajaan sendiri!
Mungkin ia bukanlah bahana daripada seorang menteri, timbalan menteri, exco, atau seumpamanya. Ia adalah sesebuah PBT. Andai ada yang terlupa, entiti itu ada nama lain yang membawa makna sama, iaitu kerajaan tempatan.
Kerajaanlah juga, kan?
Bagaimana sesebuah kerajaan tempatan - atau PBT - menyeksa orang awam? Antara jalan termudah yang ada sekarang ialah melalui 'perniagaan' petak parkir kenderaanlah.
Di sana ada ruang yang 'berniaga' yang menggiurkan. Justeru pegawai yang diberikan tanggungjawab mengelola urusan itu nampaknya selalu bersedia menerkam pengguna yang mungkin terleka, atau tergesa-gesa, atau kecemasan.
Benar, ada ramai pengguna kenderaan yang culas. Sudah tentu mereka wajib dihukum. Namun penguatkuasaan - dan penguat kuasa, serta PBT - tugas asasnya ialah bersahabat dengan orang ramai, termasuk dalam kalangan pembayar cukai.
PBT - atau kerajaan tempatan - tidak sepatunya berseteru dengan orang ramai.
Tetapi tidak dapat dipastikan sama ada sekarang ini sesebuah PBT itu tugasnya ialah masih sebagai pentadbir kawasan untuk dilestarikan, atau sudah bertukar fungsinya menjadi 'peniaga' dengan menjadikan orang awam sebagai lembu perahan.
Satu lagi soalan yang wajar ditanyakan ialah: apakah peranan denda atau hukuman yang diinstitusikan sebagai undang-undang itu. Adakah ia sebagai cara untuk mendidik orang awam agar menghormati undang-undang dan memberikan kerjasama dengan kerajaan, atau peluang untuk membuat keuntungan.
Sudah tentu jika soalan di atas ditanyakan kepada PBT, mereka akan menafikan orang awam dijadikan lembu perahan, atau penguat kuasa menjadi 'algojo' yang selalu rakus.
Namun pada hakikatnya, di sesetengah tempat penguat kuasa itu tugasnya ialah menjadi penghukum yang licik dan cekap. Mereka mungkin sukar dilihat oleh orang awam, namun pada masa sama penguat kuasa terbabit sentiasa memerhati kenderaan yang datang ke kawasan parkir.
Selepas menyemak sama ada kenderaan itu membayar parkir atau tidak, mereka akan bertindak selaku hakim yang menjatuhkan hukuman ke atas pengguna.
Mengapit tayar, misalnya.
Dan lebih menarik, tugas itu dilaksanakan dengan sangat cekap. Justeru biasanya pengguna yang disaman hanya akan menemui surat atau notis kompaun saja, manakala kelibat orang yang mengeluarkannya akan lenyap seakan-akan mereka memiliki ilmu ghaib.
Kerana itu soalan mengenai peranan penguatkuasaan itu relevan ditanyakan. Adakah PBT itu mahu menghukum pengguna yang culas dan degil, atau menyasarkan sesiapa saja yang terleka?
Sepatutnya PBT - jika mereka ikhlas dan mahu bersahabat - boleh saja memilih untuk selalu memberi peringatan kepada orang ramai secara tidak langsung.
Misalnya sentiasa menunjukkan keberadaan penguat kuasa itu agar ia mengingatkan - atau menakutkan - orang ramai sekali gus memaksa pengguna mematuhi peraturan yang ada.
Ia kira-kira sama seperti langkah polis yang menampakkan kehadiran mereka di kawasan berisiko jenayah untuk memberi peringatan kepada semua bahawa keadaan sedang dalam pemantauan pihak berkuasa.
Tapi itulah, kalau PBT terbabit memang bersungguh-sungguh mahu bersahabat. Jika mahu 'berniaga' dan mengumpul kompaun sekerap mungkin, tidaklah banyak daya upaya yang boleh kita lakukan selain bersabar saja untuk seketika.
Dan buat masa sekarang kemungkinan besar keluhan marhaen ini tidak akan dipedulikan oleh mereka yang berkuasa pun. Maklumlah, terlalu banyak yang perlu diuruskan mereka seperti harta yang berbilion-bilion itu.
Cuma kita kena faham, untuk kebanyakan negeri - yang menaungi sekian banyak PBT tersebut - hayat mandat kerajaan mereka bukannya lama. Akan tiba masanya tempoh itu akan kedaluwarsa dan pemain-pemain politik itu mungkin perlu 'menyembah' orang ramai.
Sementara menunggu detik itu, terpaksalah rakyat terus merintih untuk menanggung tekanan kos sara hidup sambil terus berasa cemas kerana kita perlu menanggung keperluan kantung PBT juga.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang takjub melihat banyaknya sekolah di negara panas lagi lembap ini menjadikan tali leher (dan kot) sebagai lambang kehebatan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.