Kekalahan adalah kekalahan. Ia adalah satu pelajaran yang berharga dan satu lumrah dalam politik.
Tidak ada sesalan dalam perjuangan, namun melakukan muhasabah itu perlu bagi memperbaiki kesilapan-kesilapan yang berlaku dan dalam memastikan kelemahan itu dapat diperbaiki, bagi meneruskan jalan ke hadapan.
Itu monolog awal bagi saya, salah seorang calon yang kalah parah bersama teman-teman saya yang lain dalam Gerakan Tanah Air (GTA) pada PRU15 yang baru usai.
Namun seusai kami bangun keluar dari runtuhan batu dan tiang yang bertaburan berkecai dalam perang demokrasi ini; setidak-tidaknya aku dapat tersenyum dengan sedikit bangga.
Bangga itu bukan kerana sifat bodoh sombong dan tidak mengakui kekalahan. Kekalahan adalah tetap kekalahan.
Bukan kerana kami tidak memahami dan mengakui mesej, naratif dan perjuangan GTA ini masih tidak sampai atau tidak difahami rakyat, jenama mahupun calon tidak dapat ditonjolkan dengan meluas, jentera yang maha kecil, dana pilihanraya hanya dari saki baki simpanan peribadi yang akhirnya terkorban hangus dan masa yang jauh sekali tidak menyebelahi kami.
Ya kami tewas dan kalah.
Buat masa ini kami jauh dari mampu bersaing dengan jentera PAS yang telah lama berakar umbi dan dana Bersatu yang maha hebat yang akhirnya mampu menampilkan mereka seolah-olah satu-satunya pilihan yang “viable” untuk orang Melayu.
Mahupun kesiapsiagaan kami menandingi Pakatan Harapan, yang retorik dan kebencian mereka kepada para penyamun yang dikobarkan, impian reformasi yang terpendam lama dan dimuntahkan seluruhnya kemarahan itu dalam pertempuran demokrasi mahupun karisma dan permainan media yang meluas dan bukan kaleng-kaleng oleh para reformis rakyat, yang
membangkitkan majoriti masyarakat bandar dan bukan Melayu untuk cita-cita reformasi yang mereka dendangkan.
Kami juga tidak termampu setanding dengan jentera BN yang cuba mempertahankan hayat akhir beberapa pemimpin mereka di Istana Keadilaan, yang menggerakkan seluruh bala tentera mereka untuk mempertahan pemimpin-pemimpin yang disebut sebagai para penyamun oleh PH, sebelum keputusan PRU 15 diumumkan lalu.
Tiada apa yang boleh kami banggakan dalam konteks ini, pada kekalahan yang kami terima
dan kemampuan dana, penerangan, jentera dan jenama baharu GTA, yang belum sah pun pendaftarannya dan meminjam logo Pejuang untuk kami bertanding.
Tak putus asa
Ya, kami terima kekalahan ini, hatta pemimpin utama dan negarawan kami, kecundang
dalam peperangan kali ini. Beliau seolah-olah dijaja oleh musuh-musuh beliau, bahawa beliau ditolak terus oleh rakyat seluruhnya. Kami kalah, namun tidak berputus asa.
Namun ketika kami sedang membalut luka dan pedih kekalahan, sekurang-kurangnya kami masih mampu tersenyum dan merasa sedikit bangga.
Bangganya bukan kenapa, namun setidak-tidaknya kami bukanlah parti yang sombong dan tidak mahu menerima Kenyataan, sepertimana rejim kepimpinan Melayu yang bertungkus lumus, dengan segala kederat mereka untuk memastikan pemimpin mereka tidak ke penjara – kenyataan besar bahawa majoriti orang Melayu telah menolak mereka.
Parti yang pada mulanya; sepertimana disebut oleh calon PH Kuala Selangor yang menang, berhasrat mahu membenamkan musuh ini, yang akhirnya terpaksa bertaut dan merangkul kembali musuh yang dibenamkan, demi untuk duduk di persada kuasa.
Kasihan sekali kepada pengikut parti ini, yang mungkin sekali lagi terlepas peluang untuk mengambil pelajaran bahawa mereka ditolak oleh ramai orang Melayu yang melihat mereka gagal pada amanah yang sepatutnya dipikul mereka selama ini, demi Abata – agama, bangsa dan tanah air.
Mungkin sekali, jagoan mereka di Sungai Buloh, yang sugul ketika kalah, dan mengharap partinya menerima kekalahan dan penolakan rakyat, akan sugul buat kali kedua kerana harapan untuk ahli parti beliau belajar dari ibrah kekalahan, dan mampu mereformasi partinya, walhasil-wamaksul, pemimpin parti kalah itu diselamatkan kembali kepada tampuk kuasa.
Jawatan nombor dua negara ini–MO2–akan menyelamatkan beliau dari dihukum pada kekalahan partinya dan mungkin juga, diselamatkan dari dihukum ke penjara.
Setidak-tidaknya kami, tidak akan jadi keliru sendiri, pada apa maksud prinsip, dan apa maksud pendirian, kepada jagoan pemimpin utama perikatan, yang ketika mana mereka merangkul barisan untuk memegang tampuk kuasa, ketika ini menjengkelkan pakatan, ketika pakatan memilih untuk-bersama-sama penyamun, untuk duduk di singgahsana kuasa.
Setidaknya kami tidak harus menjadi malu, seperti mana disebut oleh reformis kelahiran sebuah Parti Rakyat, yang tersipu dan mahu menyembunyikan kitab-kitab reformasi di bawah gerobok, kerana tidak pasti samada parti ataupun pemimpinnya, masih mendokong aspirasi, hala tuju dan perjuangan untuk melakukan perubahan struktural dan reformasi institusi mahupun pemegang pada idealisma dan integriti.
Setidak-tidaknya jentera kami yang gagah namun kecil, tidak akan merasa kemaluan dan terhina apabila laungan lagu perang mereka – “hoi ho ya hoi” – kembali didendangkan seperti menyindir-nyindir mereka, seolah-olah mereka sebahagian dari penyamun yang mereka jelekkan sebelum ini.
Masih boleh tersenyum
Mahupun pemimpin wibawa kami, tidak harus menjadi pelakon wayang yang mendendangkan sound-bytes politik yang palsu, demi untuk membeli jiwa dan harapan rakyat kepada satu impian yang sebenarnya tidak ingin pun mereka penuhi.
Ini sangat menggusarkan bagi seorang pemimpin yang diamanahkan kepada portfolio ekonomi, ketika mana rakyat bakal menghadapi hari-hari sukar untuk ekonomi dunia 2023 yang dijangkakan bakal menguji lagi rakyat.
Adakah kita rakyat, boleh mempercayai perancangan, penyelesaian dan retorika yang bakal dimuntahkan oleh Menteri pakar ekonomi ini sebagai penyelesaian masalah ekonomi rakyat atau hanya salah satu lagi sound-bytes politik untuk mewayangi rakyat yang bakal susah.
Parameter, apa yang benar dan apa yang sound-bytes, sangat-sangat kabur ketika ini.
Sama ada ini pandangan “sore loser”, mereka-mereka yang tewas dan tidak berpuas hati, atau jering pahit yang harus ditelan, setidak-tidaknya kami boleh sedikit tersenyum bangga.
Bahawa harga kemenangan mereka tidak dibangunkan pada prinsip-prinsip yang semudahnya dijual beli, sepertimana cuba dinafikan oleh pengerusi pembangkang sebelum beliaunya menjadi pemimpin nombor satu negara.
Bangga, bahawa harga kekalahan kami adalah pada satu cita-cita dan hasrat murni untuk pemimpin politik Melayu boleh menjadi pemimpin yang wibawa, dan tidak lagi dinisbatkan sebagai penyamun.
Bahawa cita-cita menyelamatkan agama, bangsa dan tanah air ini, walaupun masih belum diterima oleh rakyat, namun tidak terlihat pada kami untuk melacurkan wibawa perjuangan kami, dengan pembohongan-pembohongan atau soundbytes politik, seentengnya untuk hanya sedap sebagai halwa telinga, namun tidak mampu dikunyah untuk mengisi kantung perut rakyat yang lapar.
Kami masih bangga dan masih boleh tersenyum, bahawa kami masih mampu bangkit dan berusaha, membuktikan perjuangan kami benar dan tidak akan berhenti disini.
Saya kagum, dengan ujian prinsip, keikhlasan, perjuangan dan harga diri yang terpaksa dilalui mereka-mereka yang menang dan bersyukur dan tersenyum, Allah tidak meletakkan ujian sedemikian kepada kami, Pejuang Gerakan Tanah Air (GTA).
Doa saya, yang baik-baik sahaja untuk pemimpin negara.
NIZAM MAHSHAR adalah calon yang kalah dalam PRU15 di parlimen P012, Jerai. Beliau juga adalah ketua penerangan penaja GTA dan beberapa organisasi lain. Tulisan ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mewakili mana-mana organisasi.
Ia juga tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.