ULASAN | Menang tak menang semua, kalah tak kalah semua. Itu adalah reaksi awal saya apabila melihat senarai jemaah menteri kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ada juga berpandangan kabinet sekarang “yang menang kalah semua, yang kalah menang semua”. Bermaksud, pihak yang kalah dapat banyak jawatan menteri banyak, manakala parti yang menang mendapat jawatan lebih kecil.
Apa pun, politik Malaysia boleh dikatakan lebih terbuka apabila rakyat mengikuti rapat setiap proses dan isu berkenaan pembentukan kabinet yang sebelum ini gagal mendapat sambutan menggalakkan.
Namun, ada juga segelintir rakyat sukar menerima senarai itu kerana bertentangan dengan harapan ditetapkan.
Isu pembentukan kabinet kali ini menarik perhatian ramai kerana dua perkara. Pertama, pelantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri, dan tindakan Anwar turut mengetuai kementerian kewangan.
Rakyat mempertikai keputusan kerajaan memandangkan Ahmad Zahid masih berhadapan kes mahkamah dan kedudukannya dalam kabinet boleh menjejaskan integriti kerajaan.
Langkah perdana menteri memegang jawatan menteri kewangan turut mendapat reaksi negatif khasnya daripada badan masyarakat sivil dan pemikir seperti Bersih dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).
Penting kekalkan keyakinan
Amalan itu seolah-olah memberi kuasa besar kepada perdana menteri dan membuka ruang kepada salah guna kuasa serta rasuah seperti yang berlaku semasa pentadbiran Najib Razak.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, menjelaskan bahawa kabinet hari ini adalah berdasarkan kepada senarai yang diberikan oleh gabungan parti yang membentuk kerajaan persekutuan, bukannya keputusan tunggal perdana menteri.
Soalnya, sejauh manakah pembentukan kabinet ini kukuh dan mampu mengekalkan sokongan dalam parlimen?
Dalam memahami situasi ini, kita perlu kembali kepada prinsip asas pembentukan kabinet itu sendiri. Ia bergantung kepada keperluan perdana menteri untuk menubuhkan pasukan yang mampu melaksanakan dasar dan keputusan dibuat secara kolektif.
Realitinya, perdana menteri memerlukan kabinet yang berkesan dan kukuh untuk mengekalkan kepercayaan dan menjalankan tugas. Tanpa kabinet yang kukuh, sudah pasti perdana menteri akan tempang di luar atau dalam parlimen.
Memandangkan tidak ada gabungan parti mempunyai majoriti 112 kerusi di Dewan Rakyat, formula tolak ansur antara gabungan parti dan perdana menteri menjadi kunci utama penyusunan kabinet dapat diselesaikan.
Kabinet hari ini dibarisi kebanyakan pemimpin kanan parti gabungan. Formula itu berdasarkan asas bahawa ketua-ketua mampu mendisplinkan ahli parlimen masing-masing agar tidak berganjak ke blok lain yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan.
Ia juga menjadi sebab mengapa Ahmad Zahid perlu berada dalam kerajaan, walaupun secara idealnya individu terpalit dengan masalah integriti ini tidak patut ada di dalam kabinet.
Dalam keadaan getir ini, Anwar berjaya membentuk kabinet yang jumlahnya lebih kecil berbanding pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.
Struktur kementerian juga tidak diubah banyak, membolehkan penjawat awam tidak perlu membazir masa membuat kerja pentadbiran bagi tujuan penstrukturan semula jabatan mahupun kementerian.
Suka atau tidak, jemaah menteri kali ini sekurang-kurangnya dapat mengimbangi keperluan perdana menteri dan harapan rakyat dari sudut saiz kabinet.
Kebimbangan tetap ada
Kewujudan semula jawatan menteri ekonomi turut memberi nilai tambah kepada kerajaan. Peranan menteri terbabit ialah menguruskan pembangunan ekonomi negara, manakala menteri kewangan memfokuskan aspek perbelanjaan mengurus dan belanjawan kerajaan.
Ia merupakan pendekatan strategik bagi memastikan kawal selia ekonomi dan kewangan negara berfungsi dengan berkesan.
Menteri ekonomi juga dapat memperkukuh kaedah semak dan imbang dalam kabinet agar setiap keputusan dibuat berdasarkan perancangan serta rasional yang betul, bukannya bergantung kepada kuasa perdana menteri.
Pendekatan ini lebih baik jika dibandingkan dengan pentadbiran terdahulu yang meletakkan menteri menjaga ekonomi di bawah jabatan perdana menteri (JPM) bagi mengukuhkan penguasaan perdana menteri dalam kabinet.
Perspektif yang diterangkan ini adalah sisi positif kerajaan yang cukup kompleks dan rumit. Tetapi, ia tidak menafikan kebimbangan rakyat jika amalan urus tadbir yang berintegriti tidak dapat dipertahankan kerajaan.
Sebenarnya banyak lagi yang boleh ditambah baik untuk memperkukuh keyakinan rakyat kepada kerajaan. Antaranya melakukan penstrukturan saiz dan memotong peruntukan JPM yang terletak di bawah kuasa perdana menteri.
Kerajaan pusat selepas Langkah Sheraton telah mengembalikan peruntukan besar kepada JPM. Dalam Belanjawan 2021 JPM menerima peruntukan sebanyak RM11.7 bilion, iaitu meningkat RM3 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Dana khas diterima perdana menteri ketika itu berjumlah hampir RM2.19 bilion.
Belanjawan 2022 dibentangkan Ismail Sabri memperuntukan RM12. 2 bilion kepada JPM dan dana khas kepada perdana menteri pula dianggarkan sebanyak RM2.14 bilion.
Maksudnya, kedua-dua perdana menteri sebelum Anwar memegang dana yang besar, yakni sebesar belanjawan Selangor dan Johor dan ia dibelanjakan untuk kepentingan tertentu.
Soalnya, apakah Anwar kali ini mempunyai pendirian tegas memotong dana khas dan peruntukan JPM dalam Belanjawan 2023 agar ia dapat diberikan kepada kementerian-kementerian lain?
Apakah perdana menteri mempunyai iltizam politik mengurangkan peruntukan untuk dirinya sendiri?
Ujian ketahanan, kesepakatan
Rasionalnya mudah – sekiranya Anwar sudah memegang jawatan menteri kewangan, apakah logiknya peruntukan besar diberikan kepada perdana menteri bagi mengukuhkan kuasanya dalam kerajaan?
Perkara ini yang akan diperhatikan oleh rakyat pada pembentangan Belanjawan 2023. Pendirian yang berani menguruangkan kuasa perdana menteri dalam JPM akan menyaksikan Anwar menonjolkan dirinya sebagai perdana menteri yang berintegriti.
Jika tidak, kepercayaan rakyat juga akan terhakis dan mungkin kerajaan akan mengharungi pelbagai cabaran lebih besar untuk mempertahankan kedudukannya.
Perjalanan kerajaan perpaduan sebenarnya masih panjang. Perubahan dinamik politik negara yang kian rumit dengan beberapa pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung dalam masa terdekat bakal menguji ketahanan kerajaan yang berdiri atas kesepakatan gabungan parti politik.
Soalnya apakah kabinet ini akan melepasi terlepas tekanan undi percaya pada 19 dan 20 Disember di Dewan Rakyat nanti?
FAKHRURRAZI RASHID ialah penyelaras penyelidik Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.