Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kebebasan bersuara bukan hingga sebar fitnah, tohmah'

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menegaskan bahawa dia akan mempertahankan hak bersuara untuk rakyat negara ini, namun ia haruslah berdasarkan undang-undang sedia ada.

Fahmi berkata kebebasan bersuara tidak boleh sehingga sampai ke tahap menyebarkan fitnah dan mengeluarkan tohmahan tidak berasas.

“Kita tetapkan batas, saya sendiri sebagai seorang ahli politik, ahli parlimen dan sekarang menteri, memang mempertahan hak bersuara, tapi bila kita teliti undang-undang termasuk undang-undang lain seperti Akta Komunikasi dan Multimedia, memang ada batas-batas di mana sekiranya dilakukan juga (kesalahan) ada tindakan undang-undang.

“Biarlah apa kita sebut itu berasas dan boleh dipertahankan di mahkamah,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri taklimat dan membuat lawatan di Angkasapuri, Jabatan Penyiaran Malaysia hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Mohammad Mentek.

Sehubungan itu Fahmi berkata antara fokus kementeriannya kali ini ialah menjalin kerjasama erat antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan penyedia platform media sosial, dalam memastikan hasrat kerajaan untuk menjaga hak bersuara, namun pada masa sama memastikan batas undang-undang sentiasa diawasi dan dipatuhi.

“Sekiranya berlaku perlanggaran (undang-undang) maka perlu ada tindakan,” katanya.

Sementara itu dia yakin isu pembangunan Angkasapuri Kota Media, akan dapat diselesaikan segera dan dijangka siap suku pertama atau awal suku kedua 2023.

Bagi isu melibatkan projek sakit membabitkan bangunan RTM Langkawi dan RTM Bintulu, Fahmi yakin ia akan dapat diselesaikan secepat mungkin, menerusi pertemuan yang akan diatur dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam masa terdekat.

“Ini melibatkan duit rakyat. Saya kurang suka sekiranya ada projek sakit dan saya percaya ini akan dapat kita tangani dengan baik,” katanya.

Fahmi berkata fokusnya sebagai menteri ketika ini ialah memastikan Jabatan Penyiaran bersedia untuk masa hadapan, selain meminta jabatan itu meneliti usaha bagi menambah baik dan memperkasa kandungan media tradisional serta platform dalam talian, bagi memastikan mesej kerajaan dapat disampaikan dengan lebih baik.

Dia berkata sebagai lidah rasmi kerajaan, Jabatan Penyiaran juga perlu mengangkat isu-isu dibawa atau penyelesaian diusahakan jemaah menteri dan kerajaan, terutama dalam isu kos sara hidup dan urus tadbir yang baik, selain aspek pengurangan pembaziran atau ketirisan.

Ditanya berhubung buli siber, Fahmi berkata ia merupakan isu yang serius serta memberi impak kepada kesihatan mental, di mana kementeriannya akan melihat keperluan untuk melihat semula undang-undang sedia ada.

“Jadi saya mahu tidak lama lagi untuk kemungkinan melihat kepada undang-undang sedia ada, dan mungkin, sebarang kekurangan yang ada, dan melihat apa yang kementerian ini boleh lakukan bagi memastikan persekitaran terutamanya dalam talian menjadi lebih kondusif,” katanya.

-Bernama

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS