Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kem motivasi neraka' - Fasilitator didakwa kasari murid

Disembur dengan air di tengah padang sekolah dengan hanya berseluar dalam, dihukum melakukan ketuk-ketampi beratus kali hanya kerana berbual serta dipukul dengan penyapu - ini antara yang didakwa dihadapi murid sekolah di Serdang, Selangor pada hujung minggu lalu.

Hukuman-hukuman ini didakwa dikenakan terhadap mereka ketika menghadiri kem motivasi - yang sepatutnya menyeronokkan - pada minggu lalu.

Menurut sumber yang dekat dengan sekolah yang terlibat, insiden berlaku ketika kira-kira 60 murid Darjah 5 menghadiri kem dua hari yang dikendalikan sebuah NGO yang dihubungi pengurusan sekolah.

Sumber yang merupakan bapa seorang murid memberitahu Malaysiakini yang ibu bapa perlu membayar RM20 untuk setiap murid bagi menyertai program tersebut, yang mereka jangkakan akan memberi manfaat, di samping keseronokan, kepada anak mereka.

"Namun, ibu bapa terkejut apabila anak mereka pulang Ahad lepas dalam keadaan sangat lemah dan ramai yang menangis. Malah ramai yang tak ke sekolah keesokannya.

"Selepas itu baru ibu bapa dapat tahu apa yang dilalui anak mereka di kem.

"Anak-anak beritahu para fasilitator - dipercayai kebanyakannya graduan universiti - telah kenakan pelbagai tindakan fizikal kepada mereka.

"Anak-anak kata mereka dihukum ketuk-ketampi hanya kerana berbual, atau dihukum bercangkung selama 10 minit," katanya.

Murid-murid lelaki pula melalui pengalaman memalukan apabila didakwa dipaksa "mandi" di padang sekolah hanya dengan berseluar dalam.

Fasilitator kemudian didakwa menggunakan paip untuk menyebur air terhadap mereka.

Malaysiakini difahamkan seorang fasilitator telah mencekik seorang murid lelaki Darjah 5, menolaknya ke dinding, menamparnya beberapa kali dan memukulnya dengan penyapu.

Dia didakwa menuduh murid itu membawa vape ke kem dan tidak berpuas hati dengan penafiannya ketika ditanya berkenaan perkara itu.

Siasatan sedang dibuat

Difahamkan beberapa ibu bapa, termasuk ibu kepada murid Darjah 5 terbabit, telah membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Serdang AA Anbalagan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya setakat ini telah menerima empat laporan dari ibu bapa.

"Siasatan sedang dibuat di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-anak 2021," katanya.

Seksyen tersebut berkenaan kesalahan "penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak".

Anbalagan juga mengesahkan laporan ibu bapa menyatakan kekerasan yang didakwa berlaku, dan polis sedang menyiasat dakwaan tersebut.

Tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Pendidikan dan guru besar sekolah untuk mendapatkan maklum balas berkenaan perkara ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS