Isu monopoli industri beras tempatan dan import beras yang dikuasai tokoh korporat Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang juga pemegang saham terbesar Padiberas Nasional Bhd (Bernas) perlu dilihat dari perspektif kepentingan pesawah miskin dan bukannya dijadikan isu kaum.
Naib Presiden Persatuan Perpaduan Sejahtera Kebangsaan M Rathakrishanan berkata kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa Bernas memberi balik RM60 juta kepada pesawah miskin perlu dilihat dari sudut positif oleh semua pihak termasuk netizen di media sosial.
“Isu ini (monopoli import beras) adalah suara rakyat dan demi kebajikan pesawah. Bagi saya, netizen yang menjadikan isu Bernas ini sebagai isu perkauman adalah sangat tidak relevan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata inisiatif Anwar itu adalah bagi meringankan beban serta membela nasib pesawah yang kebanyakannya daripada golongan B40.
“Bagi golongan pesawah, pasti mereka merasakan ada ‘sinar’ daripada pengumuman Perdana Menteri itu kerana ada bantuan yang akan diberikan kepada mereka… kami sangat mengalu-alukan Perdana Menteri kita untuk menolong para pesawah,” katanya.
Berkongsi pandangan sama, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin berkata walaupun inisiatif Anwar itu bertujuan membela nasib pesawah miskin, namun pada masa sama Bernas juga mempunyai tanggungjawab besar walaupun ia memonopoli industri terbabit.
“Bila kita lihat dari segi keupayaan Bernas, syarikat ini mempunyai tanggungjawab yang tinggi kerana syarikat itu perlu membeli kesemua beras daripada pesawah, tidak kira dari segi cantik, tak cantik. Walaupun harganya berbeza mengikut kualiti namun Bernas tetap mengambil tanggungjawab yang sama,” katanya kepada Bernama.
Tambahnya, Bernas turut mempunyai tanggungjawab dalam mengimbangi harga beras yang diimport ke negara ini mahupun beras tempatan.
“Seperti yang kita tahu, harga beras daripada negara jiran dijual dengan harga lebih murah berbanding negara kita…Kalau katakan kerajaan buka pasaran industri beras (kepada syarikat lain), mungkin syarikat yang baharu ini akan mengambil inisiatif untuk mengimport beras dari negara jiran sebab ia lebih berkualiti dan harganya lagi murah.
“Jadi belum tentu lagi syarikat baharu ini akan mengambil beras tempatan, dari sini akan wujud ketidakseimbangan terhadap pesawah tempatan kita. Di sini Bernas melakukan perkara yang baik, syarikat itu tetap mengambil hasil pesawah tempatan, walaupun ia boleh sahaja mengambil beras import,” katanya.
Beliau berkata jika industri beras ini dibuka dan tidak dimonopoli, kebarangkalian pesawah tempatan yang mendapat hasil beras yang kurang berkualiti akan berdepan dengan penurunan hasil jualan.
Oleh itu, beliau menyarankan kepada kerajaan untuk mencari mekanisme baharu supaya ia dapat memberi situasi ‘menang-menang’ kepada Bernas dan juga pesawah.
Sementara itu, Anwar sentiasa konsisten terhadap isu bagi membantu golongan pesawah ini, malah beliau pernah menyuarakan perkara ini pada Julai lepas di Dewan Rakyat dengan membidas tindakan kerajaan melanjutkan tempoh konsesi Bernas selama 10 tahun bermula dari 11 Jan 2021 hingga 10 Jan 2031.
Beliau dilaporkan berkata lanjutan itu perlu dihentikan supaya peladang, petani dan pesawah padi mendapat manfaat langsung.
Anwar menegaskan kerajaan perlu menghentikan monopoli import beras serta membantah keras dasar yang menguntungkan pemodal dalam keadaan rakyat dan pesawah padi susah.
Pada sidang media Isnin lepas, Anwar berkata kerajaan pimpinannya akan meneliti isu monopoli import beras yang dikuasai Syed Mokhtar serta meneliti keuntungan beliau yang membeli pegangan Bernas milik Tan Sri Tan Boon Seng dengan harga RM800 juta dan Datuk Seri Shahidan Kassim (RM400 juta).
Anwar berkata Syed Mokhtar bersetuju memperuntukkan RM10 juta bulan ini dan RM50 juta tahun depan kepada pesawah miskin.
Perdana Menteri turut meminta supaya isu monopoli import beras itu tidak dipolitikkan kerana usaha itu berniat membantu pesawah miskin.
- Bernama