Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Anwar, Mat Sabu kena rasai sendiri kedalaman kelebok

ULASAN | Pada pandangan saya, tidak semuanya buruk atau negatif apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim memilih untuk "mengherdik" (reprimand) usahawan Syed Mokhtar Albukhary.

Mula-mula sekali, banyak orang "mengherdik" Anwar semula dan menuduhnya menghukum satu-satunya usahawan bumiputera dalam kategori billionaire di bumi Malaysia ini, tetapi senyap terhadap bukan bumiputera yang juga mendapat monopoli, kontrak dan konsesi berbilion ringgit dari kerajaan.

Kemudian ramai yang mempertahan dan memuji Syed Mokhtar kerana amal jariahnya yang banyak dan kemampuannya bersaing dengan bukan bumiputera.

Okeylah, tidak semua usahawan perfect dan tidak semua monopoli, kontrak dan konsesi yang mereka terima telus.

Sebagai bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan zaman penswastaan tahun 1990-an, Anwar terbabit terus dan banyak usahawan pelbagai bangsa mendapat faedah daripada largesse (kemurahan hati) beliau.

Saya cukup yakin kalau Anwar mahu, dia boleh menghimpunkan usahawan yang menikmati keuntungan besar daripada kemurahan hatinya 30 tahun lalu untuk membantu membangunkan semula ekonomi Malaysia macam Dr Mahathir Mohamad dibantu oleh Majlis Perniagaan Malaysia (Malaysian Business Council).

Mungkin Anwar tidak terlibat secara langsung membangun dan memajukan empayar perniagaan Syed Mokhtar. Tetapi ketika Anwar menjadi orang kanan Dr Mahathir pada 1990-an, Syed Mokhtar sudah pun seorang menjadi bumiputera yang berjaya.

Antara yang membantu Syed Mokhtar ialah Muhyiddin Yasin selaku menteri besar Johor. Dr Mahathir datang kemudian, selepas Muhyiddin.

Dia lebih muda dalam lima tahun daripada saya dan kami berkongsi sekolah. Saya Saint Michael School pagi bantuan kerajaan dan dia Saint Michael School swasta petang.

Dia kenal ayah saya melalui kerbau lembu. Ayah saya menternak kerbau dan lembu. Syed Mokhtar dan bapanya berniaga kerbau lembu.

Pukul anak sindir menantu

Anwar ungkit pasal monopoli beras. Monopoli beras ini ciptaan kerajaan. Zaman penjajah sudah ada. Bermula sebagai Rice Distribution Guilds selepas Perang Dunia Kedua dan kemudian Pejabat Kawalan Makanan.

Melalui sistem monopoli inilah francais beras, gula dan gandum diberikan kepada bapa Robert Kuok, mendiang Kuok Keng Kang, oleh kerajaan Johor dan beberapa orang lagi tauke Cina di negeri-negeri lain.

Pada 1971 kerajaan menubuhkan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN). Pada 1996 ia diswastakan menjadi Bernas dan disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun berikutnya.

Semasa itu Anwar menjadi timbalan perdana menteri merangkap menteri kewangan. Tentu Anwar tahu asal-usulnya. Syed Mokhtar hanya membeli kawalan syarikat itu pada 2014.

Rasanya ini cerita pukul anak sindir menantu.

Sasaran sebenar mungkin ‘ketua agitator’ PN, Shahidan Kassim, yang bercakap mengenai kejatuhan kerajaan perpaduan.

Pada 24 Nov dia dilaporkan berkata kerajaan persekutuan yang diketuai PH yang memilih bekerjasama dengan parti dengan jumlah kerusi yang sedikit tidak akan kekal lama.

Bagi yang tidak tahu, Anwar dengan Shahidan ini seteru lama.

Anwar pun sudah kata, bukan tujuan dia nak menggugat empayar Syed Mokhtar.

Tapi mengherdik Syed Mokhtar dan mendapatkan "derma" RM60 juta untuk dua tahun tidak akan menyelesaikan masalah kemiskinan penanam padi atau import beras.

Untuk mula memahami masalah itu, Anwar dan Menteri Pertanian, Mohamad Sabu, kena singsing kaki seluar dan turun ke bendang. Rasai sendiri berapa dalamnya kelebok!


A KADIR JASIN ialah Tokoh Wartawan Negara dan bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd. Artikel ini asalnya disiarkan di media sosial.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS