Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu dana RM600 bilion: Afif dakwa Saifuddin campur tangan siasatan
Diterbitkan:  Dec 7, 2022 9:22 PM
Dikemaskini: Dec 8, 2022 12:03 AM

Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berhubung dakwaan penyelewengan dana RM600 bilion ketika era pentadbiran PN memperlihatkan tindakan mahu campur tangan.

Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Shah Alam, Dr Afif Bahardin berkata tindakan Saifuddin itu sesuatu yang mengejutkan.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya campur tangan politik yang jelas oleh menteri, dalam mengarahkan polis tentang cara menjalankan tugasnya.

"Ini adalah dendam politik dalam bentuk yang paling jelek," kata Afif, yang juga Adun Seberang Jaya dalam kenyataan.

Semalam, Saifuddin berkata dia akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkenaan isu dana RM600 bilion didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Saifuddin Nasution berkata dia akan mendapatkan pandangan daripada ketua polis mengenai isu dibangkitkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam sidang media perdana menteri itu di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Afif yang juga calon PN yang tewas di Shah Alam pada PRU15 lalu berkata Saifuddin tidak perlu membincangkan secara spesifik sebarang siasatan dengan polis.

“Itu adalah bidang kuasa polis, dan tidak boleh ada campur tangan politik atau menteri.

“Sungguh mengerikan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipanggil perdana menteri reformis, pada minggu pertamanya memegang jawatan membuat tuduhan sedemikian tanpa sebarang bukti untuk menyokongnya.

“Lebih memalukan apabila Menteri Dalam Negerinya, pada hari kedua memegang jawatan, (seolah-olah) merancang untuk terbabit dalam menjalankan siasatan,” katanya.

Afif yang juga bekas ahli PKR turut mendakwa Anwar cuma membuat propaganda apabila mengulangi dakwaan RM600 bilion dan kemudian menghasut pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan mereka sendiri.

“Walaupun ini mungkin biasa di negara-negara seperti Korea Utara, ia adalah menjijikkan di Malaysia yang sepatutnya menjadi negara demokrasi,” tambah Afif.

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik Covid-19 pernah dibangkitkan bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari pada 15 Nov lepas.

Semalam juga, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata beliau tidak takut untuk disiasat susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM600 bilion ketika mengetuai pentadbiran sebelum ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS