Kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim digesa memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan berhenti menggunakan undang-undang itu terhadap tahanan yang sedang menunggu perbicaraan adil.
Keluarga tahanan Sosma membuat rayuan itu di luar Penjara Kajang pagi ini semasa pengurusan kes sebelum perbicaraan di sana melibatkan 34 individu yang dituduh menganggotai kumpulan jenayah terancang, “Geng 08 GST”.
Kebanyakan 34 lelaki itu ditahan di bawah Sosma pada 23 Jun tahun ini manakala selebihnya ditahan tidak lama kemudian. Mereka kemudian didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Abe Rameshwary, 42, (gambar, bawah) kecewa kerana suaminya tidak diberi tarikh perbicaraan walaupun telah ditahan hampir enam bulan.
Dia berkata perkara itu tidak adil kerana keluarga dinafikan peluang untuk bertemu tahanan, menyebabkan mereka tidak tahu tentang keadaan mereka.
“Jika anda tanya saya, ini zalim. Kami tidak pernah bercakap dengan ahli keluarga kami, walaupun sepatah perkataan. Kami tidak tahu sama ada mereka masih hidup atau tidak," katanya.
Selain suaminya yang berusia 44 tahun, Abe berkata empat sepupu suaminya, berusia antara 20 dan 44, turut ditahan.
Dia juga meluahkan rasa tidak senang terhadap cara tahanan Sosma dilayan seolah pengganas.
Perbicaraan adil
“Mengapa hanya orang India yang ditahan di bawah Sosma? Pernahkah anda melihat cara mereka dibawa pergi? (Ia macam polis) sangka mereka mengiringi Saddam Hussein,” keluh Abe.
“Saya tidak minta banyak. Saya tidak mengatakan bahawa semua orang tidak bersalah, sebahagian daripada mereka mempunyai rekod (jenayah) silam.
"Tetapi jika mereka telah berhenti (melakukan jenayah) dan telah insaf, mengapa dimasukkan ke dalam penjara semula?
“Apa yang saya mahu ialah perbicaraan yang adil dan hentikan salah guna Sosma. Permintaan saya supaya mereka (pihak berkuasa) tidak memanjangkan kes ini,” kata Abe yang juga tenaga pengajar dari Balakong, Selangor.
Sementara itu, seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Mala (gambar, atas) turut merayu kepada kerajaan supaya memansuhkan Sosma dan berhenti menggunakan undang-undang itu terhadap suaminya yang berusia 37 tahun dan tahanan lain.
“Saya mohon kerajaan hapuskan Sosma dan jangan dakwa suami saya di bawah Sosma. Ini bukan perkara yang betul untuk dilakukan,” katanya.
Mala berkata suaminya pernah dipenjarakan di Singapura selama lima tahun dan dia berhak mendapat peluang untuk mengubah hidupnya selepas dibebaskan.
"Lepaskan mereka jika mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan, cuma beri mereka peluang sekali lagi untuk mengubah hidup mereka," katanya.