Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan Datuk SM Faisal SM Nasimuddin telah memukul bekas isterinya, Emilia Hanafi, sejak 2011.
Adik perempuan Emilia, Elisa Nani Hanafi, 38, berkata pada 20 Okt 2015, kakaknya memaklumkan bahawa beliau telah dipukul oleh SM Faisal dan berkongsi foto mengenainya melalui aplikasi WhatsApp.
“Emilia memberitahu saya bahawa perkara itu berterusan selama tiga hingga empat tahun dan beliau tidak memberitahu sesiapa atau mahu sesiapa tahu serta meminta saya merahsiakannya,” kata saksi pendakwaan keenam itu ketika membacakan pernyataannya pada perbicaraan kes SM Faisal yang didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Emilia.
Beliau berkata Emilia turut menghantar foto kesan lebam di paha dan tangannya pada kira-kira 8 malam 20 Okt 2015 bersama kad hari jadi untuk SM Faisal.
“Saya tanya kakak apa yang berlaku. Kakak kata Faisal tiba dari luar negara antara pukul 2 hingga 3 petang dan dia bersama anak lelakinya telah pergi ke lapangan terbang untuk menjemput Faisal sebagai kejutan.
“Setibanya di rumah, kakak masakkan dia (SM Faisal) makanan sihat kerana tahu Faisal sedang berdiet iaitu salmon dengan sos lemon, avokado, buah zaitun dan bayam.
“Apabila makanan itu dihidangkan, Faisal melemparkan pinggan berisi makanan itu ke arah kakak dan pinggan itu telah berkecai.
"Dia turut campak Emilia ke lantai beberapa kali. Selepas insiden itu, Emilia memberitahu saya bahawa Faisal telah mengoyakkan kad hari jadi itu dan mengunci bilik tidur mereka yang terletak di tingkat tiga supaya Emilia tidak boleh masuk,” katanya.
Tak mahu ibu susah hati
Saksi itu berkata beliau telah mendesak Emilia agar memaklumkan perkara itu kepada orang yang lebih berumur dan matang untuk mendapatkan nasihat, bagaimanapun, Emilia tidak setuju kerana tidak mahu ibu mereka susah hati.
“Saya kemudian mencadangkan agar kakak memaklumkan Mak iaitu ibu SM Faisal dan selepas didesak, barulah dia bersetuju,” katanya sambil menambah mereka bertemu ibu SM Faisal di kediaman wanita itu di Bukit Tunku.
Elisa Nani juga berkata ibu SM Faisal menasihati Emilia agar membuat laporan polis namun wanita itu enggan berbuat demikian kerana tidak mahu memalukan suaminya dan keluarga mereka.
Pada 22 Nov 2015, Emilia memaklumkan bahawa SM Faisal terus memukulnya dan meminta beliau menghubungi polis supaya segera ke rumah mereka di Serene Kiara kerana dia berasa takut.
“Saya telah meminta suami iaitu Carl untuk menemani saya ke rumah Emilia dan SM Faisal serta menghubungi polis untuk memaklumkan perkara itu,” katanya.
Elisa Nani berkata SM Faisal telah menyambut kedatangan mereka dengan baik dan seorang anggota polis telah menyoal SM Faisal “Masalah apa ini?”
“Faisal jawab ‘Masalah rumah tangga, benda kecil sahaja, tak apa, adik ipar saya sudah sampai,” kata saksi itu sambil menambah beliau kemudian ke tingkat untuk mendapatkan Emilia.
Emilia membuka pintu bilik dan kelihatan ketakutan sebelum mereka berpelukan sambil menangis dan saksi itu melihat lebam pada muka kakaknya yang kemudian meminta pertolongan polis sambil menjelaskan bahawa beliau telah diserang serta dipukul.
SM Faisal, 43, didakwa mencederakan Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang 22 Nov 2015 mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Majistret Nadia Othman bersambung 5 Jan depan.
- Bernama