Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Saat Loke mencontohi Umar al-Khattab, Hadi dilanda 'PHD'

Petang semalam, Presiden PAS Hadi Awang meluahkan rasa tidak puas hatinya berhubung peranan yang diberikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

Pada petang yang sama, setiausaha agung DAP yang juga menteri pengangkutan meluangkan masa selama dua jam untuk meninjau keadaan perkhidmatan pengangkutan awam LRT di ibu kota pada waktu puncak.

Anthony Loke tidak memberitahu pihak pengurusan Prasarana dan media kerana ingin merasai sendiri keadaan sebenar yang dialami oleh penumpang-penumpang, apa yang mereka terpaksa tempuh setiap hari.

Dua keadaan ini amat jauh beza sama sekali. Ketika pemimpin DAP yang sering dihina oleh PAS mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Al-Khattab, yang sering dalam diam keluar meninjau perihal rakyat, Hadi terus dilanda 'PHD' - penyakit hasad dengki.

Hadi nampaknya dengan apa cara sekalipun berterusan menyerang DAP. Respons beliau yang menyatakan "Yang penting DAP mendapat manfaat yang banyak" meskipun hanya memiliki empat daripada 27 menteri dalam kabinet, nampaknya hanyalah menzahirkan perasaan iri hati beliau.

Saya teringat firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 120 yang mafhumnya; 

“Jikalau kamu semua mendapatkan kebaikan, maka hal itu tidak juga menenangkan hati mereka. Sedang jikalau kamu semua mendapat kemudaratan, maka mereka pun bergembira disebabkan kemudaratan tersebut.”

Bahkan dalam surah Al-Ma'idah ayat 27, Allah menceritakan berkaitan penyakit hasad dengki ini menerusi kisah pertembungan dua putera Nabi Adam AS iaitu Qabil dan Habil. Qabil merasa tidak senang dan iri hati terhadap Habil yang korbannya diterima Allah. Perasaan iri hati yang bertukar menjadi dendam kesumat ini telah mendorong Qabil untuk membunuh Habil.

Saya pasti Hadi Awang amat memahami kisah-kisah teladan ini. Justeru, tidak perlulah saya huraikan dengan panjang lebar. Cukuplah ianya menjadi peringatan buat Hadi Awang dan kita semua.

Memetik pepatah Arab; Alwajibat aktharu minal awqat (kewajiban kita terlalu banyak berbanding sekelumit waktu yang kita ada), ini masanya untuk seluruh jentera kerajaan dan parti-parti politik untuk bekerja.

Terlalu banyak permasalahan rakyat dan negara yang mesti ditangani segera. Penyakit 'PHD' ini perlu ditolak ke tepi dan bersamalah kita berganding bahu memandang ke hadapan untuk membela rakyat dan mengangkat Malaysia ke puncak semula.


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP (CEC) merangkap naib pengerusi DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS