Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz menjelaskan bahawa dia keluar negara bagi urusan rasmi dan perkara itu telah dimaklumkan serta mendapat kebenaran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Dia juga menafikan tuduhan bahawa dirinya memonteng mesyuarat pertama Kabinet Isnin lalu seperti tersebar di media sosial, yang mendakwa dirinya ke luar negara bagi menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia.
"Baru saja angkat sumpah dah keluar berita palsu kononnya saya ponteng mesyuarat jemaah menteri untuk tengok World Cup di Qatar. Saya pergi ke Abu Dhabi bukan ke Doha, Qatar.
"Sebab itu selepas angkat sumpah saya terus ke MITI untuk beritahu KSU (ketua setiausaha) dan pegawai kanan MITI mengenai trip ini.
"Saya ke Abu Dhabi untuk menghadiri majlis perjanjian antara syarikat Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd dengan syarikat Emiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC).
"Majlis perjanjian itu disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bagi pihak Malaysia," katanya dalam video khas bagi menjelaskan isu berkenaan.
Terdahulu tular di media sosial, mendakwa Tengku Zafrul tidak hadir mesyuarat pertama kabinet pagi semalam, kerana dikatakan berada di Qatar.
Spekuliasi tular di media sosial mendakwa bekas menteri kewangan itu ke Qatar bagi menonton bola sepak Piala Dunia.
Bagaimanapun ada media melaporkan dengan memetik sumber bahawa Tengku Zafrul ke Doha bukannya Qatar.
Hari ini, Istana Negara juga turut memuatnaik kenyataan media mengenai program yang dihadiri Yang di-Pertuan Agong bersama Tengku Zafrul.
Mengulas lanjut Tengku Zafrul berkata, perjanjian yang ditandatangani Petronas itu adalah bersejarah dan projek terbesar kepada Malaysia dan UAE untuk sektor minyak dan gas.
Dia berkata, perjanjian itu melibatkan pelaburan bagi kedua-dua negara untuk tempoh 30 tahun yang diyakini akan memberikan limpahan ekonomi kepada negara.
Dia akan memaklumkan kejayaan yang dicapai kepada perdana menteri dalam mesyuarat kabinet esok.
“Kita semua amat bangga dengan pencapaian Petronas di peringkat antarabangsa
“Perjanjian ini akan mempelbagaikan sumber pendapatan Petronas dan pastinya mengukuhkan status mereka sebagai salah satu syarakit tenaga terkemuka di dunia,” katanya.