Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM main politik guna pentas rasmi, kata Pemuda Bersatu
Diterbitkan:  Dec 5, 2022 10:37 PM
Dikemaskini: 3:33 PM

Pemuda Bersatu (Armada) mengecam Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang disifatkannya menggunakan "pentas rasmi" Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk bermain politik.

Ia berikutan kenyataan Anwar yang membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian, ketika sidang media selepas mesyuarat kabinet petang tadi.

Ketua Penerangan Armada Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata Anwar sepatutnya mengemukakan bukti berkenaan apa yang diperkatakannya.

"Adakah PMO tempatnya untuk cipta naratif sentimen politik murahan?

"Buat pertama kali tengok seorang perdana menteri 'main politik' tabur sentimen dengan langsung tak tonjolkan bukti dan guna pentas rasmi kerajaan di PMO yang seharusnya jadi medan bicara isu rakyat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dia berkata lain keadaannya jika Anwar menyentuh soal dasar pendanaan untuk parti politik.

Ketika sidang media hari ini, Anwar yang juga menteri kewangan berkata dana pilihan raya untuk parti "Melayu" dan parti "Islam" datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas undi.

"Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu," katanya.

Dalam sidang media sama, Anwar mengumumkan cabutan khas judi kembali diturunkan kepada lapan kali setahun bermula tahun depan, setelah dinaikkan kepada 22 kali ketika pentadbiran PN.

Mengulas langkah itu, Ashraf berkata dia secara peribadi menyokong keputusan itu dan menggesa kerajaan persekutuan mencontohi negeri yang ditadbir PN yang memutuskan untuk menghentikan operasi pusat perjudian.

Katanya lagi, cabaran sebenar kerajaan, terutama Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil, adalah untuk membendung kegiatan judi atas talian.

"Syabas atas inisiatif menurunkan cabutan judi ini, namun penyokong PH jangan menangguk di air keruh dengan perbuatan jelik kerajaan yang tanpa hitam putih membuat pertuduhan, hanya semata sentimen politik.

"Lebih baik Anwar kemukakan bukti hitam putih. Sudah macam bukan kerajaan pula sifatnya," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS