Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Parti Solidariti Tanah Airku (Star) hari ini menyatakan hasrat untuk keluar daripada PN namun pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat kemudian, kata presidennya Jeffrey Kitingan.

Timbalan ketua menteri Sabah itu berkata tindakan itu dibuat kerana melihat Star, yang menyokong kerajaan masa ini, sudah tidak sehaluan dengan PN.

“Ya (keluar PN), kita tunggu pengumuman, sebab kalau kau (awak) pergi sini saya pergi sana bererti tidak sehaluanlah itu,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu, hari ini.

Terdahulu dia merasmikan Majlis Konvokesyen Institut Pertanian Sabah (IPS), Timbang Menggaris ke-50 dan Pusat Latihan Vokasional Pertanian (AVTC) Lahad Datu kali ke-37 hari ini.

Pada 26 Nov lepas, Kitingan berkata Star mengambil pendirian yang sama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyokong kerajaan.

Sehubungan itu katanya PN kini di laluan berbeza dengan Star dan hanya masa akan menentukan kedudukan parti itu dalam gabungan berkenaan selain ingin menunggu situasi politik semasa reda sebelum mengambil langkah selanjutnya.

GRS, yang dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Star, Parti Maju Sabah (Sapp) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), bekerjasama dengan Barisan Nasional, terdiri daripada Umno, MCA, MIC serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), untuk mentadbir Sabah.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS