Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar mahu Bernas 'henti hisap darah' pesawah miskin
Diterbitkan:  Dec 5, 2022 6:55 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menegur Syed Mokhtar Al-Bukhary kerana syarikatnya, Bernas memonopoli import beras.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan di bawah pimpinannya tidak akan lagi mengizinkan cara pembolotan kekayaan oleh tokoh-tokoh politik dengan mudah dan “menghisap darah” pesawah padi miskin.

"Untuk berlaku adil kita harus tahu kebenaran import bukan konsesi dan bukan dianugerahkan kepada beliau tetapi dianugerah kepada syarikat Bernas yang pada ketika itu dipunyai oleh Tan Boon Seng dan Shahidan Kassim," katanya yang dipetik oleh Bernama.

Dia berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet Khas di Putrajaya hari ini. 

Anwar juga dipetik sebagai berkata Syed Mokhtar telah membeli kepentingan syarikat Bernas sebanyak 31 peratus daripada Tan sekitar RM800 juta dan pegangan saham yang dipunyai Shahidan pula adalah pada RM400 juta.

Bagaimanapun, perdana menteri berkata, Syed Mokhtar tidak boleh dibebankan sehingga kerajaan dapat meneliti keuntungannya sama ada pulangan itu berpatutan atau tidak.

"Saya telah gesa beliau untuk berbuat sesuatu segera maka peruntukan sekarang bulan ini RM10 juta kepada pesawah padi dan mulai tahun depan RM50 juta daripada Bernas," katanya.

Menyatakan pendirian kerajaan pimpinannya, Anwar berkata dasar-dasar yang baik kerajaan terdahulu akan diteruskan termasuk sistem kontrak yang telus.

“Dasar-dasar yang baik, kontrak (telus) kita tiada masalah, ini kerajaan yang teruskan sistem, tetapi kita tegas dalam membuat perubahan, tender tidak ikut perolehan, projek tak ikut prosedur harus kita teliti semula,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata rang undang-undang yang sedang dibahaskan di Parlimen ketika kerajaan terdahulu, jika ia memberi kebaikan kepada negara juga akan diteruskan sambil menyatakan ia akan diteliti oleh kementerian berkaitan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS