Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata dia telah mengarahkan semakan semula kontrak rangkaian 5G bernilai RM11 bilion yang diberikan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) - sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan - kepada gergasi telekomunikasi Sweden Ericsson di bawah pentadbiran terdahulu.
Bercakap semasa sidang media pasca kabinet di Putrajaya, hari ini, Anwar berkata terdapat isu yang dikenal pasti dengan cara kontrak itu dianugerahkan.
“Saya telah arahkan untuk ia dikaji semula, ia tidak dilakukan secara telus. Tidak ada proses tender yang betul.
"Kita perlu semak untuk memastikan kita mengikut prosedur kewangan yang ketat, untuk memastikan ini dilakukan dengan betul," kata Anwar yang juga menteri kewangan.
Hadir bersama ialah Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil yang sebelum itu mengadakan sidang media di kementeriannya.
Pernah dianggap sebagai pengkritik lantang projek berkenaan, Fahmi berkata dia masih belum diberi taklimat mengenai kemas kini terbaru tetapi tidak sabar untuk berjumpa dengan wakil dari DNB.
“Saya tidak sabar untuk bertemu dengan wakil dari DNB untuk memahami situasi semasa.
"Saya mahu mendengar terus daripada DNB," kata Fahmi ketika ditanya mengenai pendirian semasanya. Sebelum ini, dia pernah meminta Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara untuk mengkaji semula projek itu, atas dakwaan percanggahan dalam terma kontrak.
Fahmi juga menjelaskan bahawa Majlis Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah bidang kuasanya hanya bertanggungjawab ke atas pengedaran spektrum.
"Mengenai isu pengagihan spektrum, apa pun sentimen peribadi saya sebelum ini, keadaan sekarang ialah saya menteri yang bertanggungjawab jadi itu sesuatu yang saya perlu rujuk kepada kabinet dan dapatkan beberapa arahan," katanya.
Menjawab kebimbangan awal yang dibangkitkan di Parlimen, Ericsson pada Mac lalu berkata ia telah mematuhi semua prosedur standard untuk mendapatkan urus niaga secara merit melalui tender terbuka.
Gergasi telekomunikasi multinasional Sweden itu juga berkata ia komited untuk memastikan rangkaian DNB menjadi yang terbaik di rantau ini.