Sekumpulan penggiat NGO dan aktivis menzahirkan kekhuatiran terhadap sentimen perkauman setelah terdapat pihak tidak berpuas hati tentang pembentukan kerajaan selepas pilihan raya umum.
Dalam sidang media bersama di ibu negara yang diketuai Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini, mereka menyatakan kegusaran terhadap kebencian dengan tindakan “menggunakan hujah agama secara melampau” yang cuba diapi-apikan.
“Lebih mendukacitakan, sentimen ini cuba diheret ke pentas politik utama sehingga ia menimbulkan kekhuatiran dalam kalangan rakyat akan perihal kestabilan politik negara,” kata presiden Abim Muhammad Faisal Abd Aziz.
Perkara itu katanya, termasuk tindakan kafir-mengkafir dan melabelkan sesetengah pihak sebagai komunis.
Tanpa menyebut mana-mana pihak dan kes secara khusus, Muhammad Faisal menegaskan bahawa kerajaan sedia ada dibentuk dengan kebijaksanaan serta keprihatinan Yang di-Pertuan Agong susulan pentingnya kestabilan politik.