DAP dan bekas penolong setiausaha parti itu, Khoo Poay Tiong telah memohon maaf kepada Rahim Thamby Chik kerana memfitnah bekas ketua menteri Melaka itu dengan pelbagai skandal, empat tahun lalu.
Penghakiman untuk menyelesaikan tindakan sivil oleh Rahim itu dicatatkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee.
Ketika ditemui selepas prosiding mahkamah, pagi ini, peguam Rahim, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mengesahkan keputusan perkara itu. Peguam Ramkarpal Singh mewakili Khoo dan DAP.
Menurut salinan penghakiman persetujuan, Khoo dan DAP mengakui bahawa dakwaan yang terkandung dalam beberapa artikel adalah "tidak berasas dan tidak benar", dan menyatakan kekesalan terhadap penerbitan itu.
Khoo dan parti itu "memohon maaf tanpa syarat" dan telah memadamkan artikel tersebut serta berjanji untuk tidak menerbitkannya lagi atau membuat sebarang dakwaan yang serupa.
Permohonan maaf itu juga perlu disiarkan di beberapa akhbar tempatan serta laman sosial Facebook defendan dalam tempoh 14 hari dari tarikh hari ini.
Rahim sebagai balasannya berjanji untuk menarik balik saman sivil terhadap Khoo dan DAP.
Kes saman fitnah itu sepatutnya mula dibicarakan hari ini.
Sebagai sebahagian daripada penghakiman persetujuan, plaintif Rahim turut diberikan kos sebanyak RM180,000.
Artikel-artikel yang didakwa memfitnah itu disiarkan di laman sesawang DAP.
Pada 17 September 2020, Rahim memfailkan saman fitnah tersebut dengan menamakan Khoo yang juga adalah penolong setiausaha organisasi kebangsaan DAP; bekas pengerusi kebangsaan DAP, Tan Kok Wai, Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo dan bekas setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng sebagai defendan pertama hingga keempat.