Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mengakui dirinya "malu" pada diri sendiri dengan perjuangan selama suku abad yang cuba “membawa perubahan hakiki yang dipanggil reformasi”.
Menerusi satu sajak, pemimpin lantang PKR itu berkata separuh jiwanya telah mati dan merasa tewas dengan kemenangan tanpa integriti
“Kini aku malu pada diri sendiri. Aku malu untuk ucapkan kata-kata keramat itu lagi.
"Separuh jiwaku telah mati. Aku merasa tewas, ketika menang tanpa integriti seperti ini," tulisnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sajak Hassan ini dikeluarkan selang beberapa hari susulan pembentukan kabinet PH oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim Jumaat lalu yang dipertikaian oleh pelbagai pihak, baik di pihak kerajaan, mahupun pembangkang.
Ini termasuk pelantikan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri.
Zahid digambarkan secara meluas sebagai musuh utama PH menjelang pilihan raya 19 Nov lalu yang berakhir tanpa mana-mana gabungan yang mempunyai majoriti jelas untuk membentuk kerajaan.
PH dan BN akhirnya bersetuju dengan cadangan Yang di-Pertuan Agong supaya ditubuhkan sebuah kerajaan perpaduan.
Ketika ini, PH dan BN sedang bekerjasama dan bergabung tenaga dalam kempen bagi pilihan raya Padang Serai dan DUN Tioman.
Hassan aktif dalam politik sejak 1986 sebagai sebahagian daripada Parti Rakyat Malaysia. Selepas lima kali percubaan gagal, Hassan akhirnya berjaya dilantik sebagai ahli Parlimen pada 2018.
Berikut sajak penuh Hassan.
Kusimpan risalah reformasi di dalam peti
Semalam aku masih terdengar-dengar
Kau berkata
Kita tidak akan menggadai prinsip demi kuasa
Maka, aku pun percaya
Lalu aku kumandangkan suara keyakinanku
Ke setiap penjuru tanahair tercinta ini
Ke bukit ke gunung, ke lembah, ke lurah
Ke tanah datar aku berbicara
Bahawa hidup ini hanya sekali
Maka marilah kita rakyat marhaen,
warga bawahan rakyat jelata,
Demi keadilan kita bersama,
aku seru
Kita bawa perubahan hakiki
yang kita panggil reformasi
Tetapi hari ini aku dikejutkan
Dengan istilah-istilah asing sama sekali
Aku mendengar orang berkata
tentang Machiavellian dan realpolitik
Lalu tersentaklah aku dari mimpi ngeri
Justeru, aku merayu kepada sahabatku,
Berkata luruslah di luar dan di dalam hati
Apakah benar?
Yang lurus itu dakwah,
Politik ini bengkang bengkok rupanya?
Naif sungguh aku ini
Lurus bendul selama ini
Setelah terbangun dari mimpi
Aku ambil peti kayu di tepi katil tidurku
Lalu aku lipat dan kusimpan
Segala risalah dan teks ucapanku
Yang menyeru reformasi, reformasi,
Hampir suku abad, selama ini
Kini aku malu pada diri sendiri
Aku malu untuk ucapkan kata-kata keramat itu lagi
Separuh jiwaku telah mati
Aku merasa tewas
Ketika menang tanpa integriti seperti ini
HASSAN ABDUL KARIM
Pasir Gudang
Isnin 05 Disember 2022