Paling Popular
Terkini

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra di Putrajaya.

Ahmad Zahid yang mengenakan sut serba hitam, disambut Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali sebaik tiba di perkarangan Kompleks Perdana Putra pada pukul 8 pagi.

Beliau kemudiannya mengimbas kad perakam waktu di pejabatnya di Aras 4 sebelum mengaminkan doa yang dipimpin oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri Kamruzaman Abdul Aziz.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kemudiannya memasuki pejabatnya serta menandatangani Buku Selamat Datang.

Ahmad Zahid, 69, diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri serta memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas.

Pada Sabtu lepas, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) antara 27 jemaah Kabinet mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Ahmad Zahid hari ini juga dijadual menghadiri mesyuarat khas jemaah menteri yang pertama dipengerusikan oleh perdana menteri.

Perdana Putra menempatkan pejabat-pejabat utama dalam pentabiran negara seperti Pejabat Perdana Menteri, Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Pejabat Ketua Setiausaha Negara.

Sementara itu, Ahmad Zahid Hamidi yang memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan, turut memulakan tugas secara rasmi di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya.

Beliau tiba di KKDW pada kira-kira 12.15 tengah hari selepas menghadiri Mesyuarat Khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut kenyataan KKDW, selepas mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas rasmi, Ahmad Zahid turut menghadiri sesi taklimat kementerian selepas itu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu merupakan seorang daripada dua timbalan perdana menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan Anwar pada 2 Dis selain Datuk Seri Fadillah Yusof.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS