Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim mendakwa usaha sedang dibuat untuk memastikan PN menjadi kerajaan.

Dalam sidang media selepas kempen PN di Padang Serai hari ini, Shahidan memberi gambaran betapa kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak akan bertahan lama.

"Kita bersyukur, petanda yang baik sekarang ini ialah sokongan kepada PN luar biasa. Saya ucap tahniah kepada barisan kabinet Anwar Ibrahim. Kita redalah apa yang berlaku.

"Jadi kami sedang berusaha supaya kabinet ini tidak tahan lama dan insya-Allah kami yang akan kembali memerintah berdasarkan mandat rakyat.

"Parti yang menang besar ialah anggota daripada PN iaitu PAS," katanya hari ini.

Dalam PRU15, PAS menjadi parti yang menang paling banyak kerusi iaitu 49, diikuti DAP dengan 40 kerusi.

Namun dari segi gabungan, PH menjadi gabungan terbesar dengan 82 kerusi, berbanding PN dengan 73 kerusi.

Kerajaan yang dipimpin Anwar pada masa ini terdiri daripada gabungan PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa pihak lain.

Mengulas barisan jemaah menteri yang diumumkan Anwar dua hari lalu, Shahidan berkata ia terdiri daripada mereka yang tiada pengalaman dan kurang kepakaran.

"Yang pertamanya kurang kepakaran pada pandangan mereka. Itu sebab mereka terpaksa lantik orang kalah untuk jadi menteri.

"Padahal orang kalah ini orang yang sudah tidak dapat kepercayaan rakyat, tidak wajar memimpin lagi. Dia jadi pengikut sudahlah ataupun jadi senator biasa.

"Ahli parlimen ramai yang hebat tetapi tak dilantik, di kalangan Umno dan DAP, untuk menerajui kementerian-kementerian penting tapi mungkin dia (Anwar) anggap mereka ini tidak pandai ataupun tidak pakar, hingga terpaksa lantik mereka yang kalah," kata Shahidan yang merupakan bekas pemimpin Umno.

Dia juga menyifatkan pelantikan empat menteri dari senator sebagai tidak wajar.

"Saya tengok kawan-kawan di kalangan dalam Umno itu, kasihan mereka.

"Tapi jangan bimbang kalau mereka tak dipercayai, datanglah kepada PN. Kami akan percayakan mereka," ujar Shahidan lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS