Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Pada hari ini lengkap sudah pembentukan anggota jemaah menteri. Kerajaan ini kerajaan perpaduan. Berada di dalamnya Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Idea kerajaan perpaduan dikemukakan sendiri oleh Yang Dipertuan Agong kepada ketua-ketua parti. Semua setuju kecuali Perikatan Nasional (PN).

Kerajaan perpaduan suatu formula ke arah kestabilan politik. Dari situ membawa kemakmuran ekonomi. Hasilnya kehidupan rakyat terjaga.

Saya berbangga menjadi sebahagian watak yang ikut menyumbang ke arah pembentukan kerajaan perpaduan ini.

Berbeza pandangan ramai, usaha ini bukannya bermula pada tarikh keputusan PRU ke-15 diketahui pada 19 Nov.

Kita sudah lama membaca perubahan lanskap politik negara yang tidak memungkinkan sebuah parti atau gabungan membentuk kerajaan sendiri.

Semua parti atau gabungan adalah potensi rakan untuk diajak berunding. Saya bertuah kerana pandangan jauh Anwar Ibrahim yang ikut mendokong pendekatan ini.

Pendekatan politik inklusif. Meramaikan kawan dan mengurangkan musuh. Saya diberi peluang dan peranan seluas-luasnya untuk membina rangkaian politik rentas parti selama aktif dalam PKR.

Rangkaian ini berteraskan “trust and respect” (percaya dan hormat). Bermula dengan PH itu sendiri. Hubungan sesama pimpinan cukup akrab. Anthony Loke, Lim Guan Eng, Nga Kor Ming, Steven Sim, Gobind Singh, Kula Segaran, Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Dr Dzulkefly Ahmad, Mujahid Yusof, Husam Musa, Khalid Samad, Hatta Ramli misalnya adalah rakan-rakan saya puluhan tahun. Kami saling memahami gerak politik satu sama lain.

Hubungan peribadi sekian lama dengan pimpinan BN khususnya Umno, MIC dan MCA memudahkan saya berunding dan berbincang. Ahmad Zahid Hamidi, Wee Ka Siong, Vigneswaran dan Saravanan rakan dekat sejak puluhan tahun.

Rakan-rakan dari Sarawak termasuklah Joseph Salang, Alexander Nanta Linggi, Tiong King Sing, Ibrahim Baki, Wan Junaidi sekadar menyebut beberapa nama amat mudah untuk diajak berbicara.

Shafie Apdal, Darell Leiking dan Hajiji Noor dari Sabah juga kalangan teman yang ikut mendokong.

Sejurus keputusan PRU ke-15 memaparkan tiada parti yang memperoleh majoriti, pimpinan PH membuat ketetapan segera berunding dengan parti-parti lain. Menjadi pembangkang bukannya satu pilihan. PH mesti menjadi kerajaan dan Anwar diletak sebagai perdana menteri.

Bermula dari situ saya diarah mengatur gerak mendekati watak-watak utama parti bukan PH yang telah memenangi sejumlah kerusi untuk diajak ikut serta.

Ternyata langkah yang diatur kali ini menjadi jauh lebih mudah tatkala idea kerajaan perpaduan disyorkan tepat pada masanya oleh Yang Dipertuan Agong.

Beberapa pengajaran daripada perkembangan politik ini ialah:

1. Sentiasa amalkan pendekatan politik terbuka. Politik itu dinamik justeru pendekatan politik juga harus fleksibel.

2. Hormat kawan dan lawan. Kita tidak tahu bila kita akan saling memerlukan.

3. Sabar. Politik ini suatu marathon lambat mencapai destinasinya.


SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL merupakan setiusaha agung PKR dan merupakan menteri dalam negeri yang baru dilantik.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS