Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP rela tiada jawatan jika parti jadi penghalang Anwar jadi PM

DAP berkata ketika Pakatan Harapan (PH) berdepan kebuntuan membentuk kerajaan kerana tidak mendapat majoriti di parlimen, parti itu bersedia berkorban demi negara.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata parti itu juga komited menyokong Pengerusi PH Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Sokongan tersebut, katanya, diberikan DAP tanpa sebarang syarat.

Pada masa sama, katanya, DAP juga sedar pendirian tersebut bermakna parti itu sedia mengorbankan kedudukan mereka dalam kerajaan demi Anwar.

Bagaimanapun, Loke yang secara rasmi menjadi menteri pengangkutan hari ini menegaskan, Anwar bertegas mahu supaya DAP berada bersama parti lain dalam kerajaan.

"DAP memang menyokong beliau sebagai perdna menteri tanpa apa-apa syarat dan kami mengatakan sekiranya DAP menjadi stumbling block (batu penghalang), kami akan bantu dan permudahkan beliau mendapat majoriti," katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

DAP merupakan satu daripada empat parti komponen PH selain PKR, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).

Bagi kebanyakan musuh politik PH, DAP selalu dijadikan sasaran kritikan dan dilabel sebagai parti Cina dan cauvinis sehingga menakutkan sesetengah orang Melayu.

Lakukan demi negara

Ketika PH berdepan kebuntuan untuk membentuk kerajaan pusat kerana kekurangan kerusi di Dewan Rakyat, beberapa pemimpin parti lain menjadikan keberadaan DAP dalam gabungan itu sebagai alasan menolak mereka.

Sehari selepas PRU ke-15 berlangsung, exco Selangor dari DAP, Teng Chang Kim, malah menyarankan agar parti terbabit tidak menyertai kerajaan dan menjadi pihak yang ke depan menawarkan penyelesaian kepada kebuntuan pembentukan kerajaan pusat.

Loke berkata DAP memang tidak membuat sebarang tuntutan berhubung jumlah jawatan dalam kabinet di sebalik kedudukan mereka sebagai parti yang memenangi banyak kerusi dalam PH.

Bahkan, kata ahli parlimen Seremban itu, DAP menyerahkan kepada budi bicara Anwar selaku perdana menteri untuk membuat keputusan.

Menjawab rasa kurang senang sesetengah pihak dalam DAP yang menganggap parti itu kurang diberi tempat dalam kerajaan, Loke berkata, perjuangan mereka adalah untuk negara, bukan jawatan.

“Justeru apa saja jawatan yang diberikan, kami akan lakukan yang terbaik untuk negara,” katanya.

Dalam barisan kabinet yang diumum perdana menteri semalam, DAP diberikan empat jawatan menteri.

Selain Loke, turut dibawa menyertai kabinet Anwar ialah Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming yang dilantik sebagai menteri pembangunan kerajaan tempatan, Hannah Yeoh (Segambut) sebagai menteri belia dan sukan, serta V Sivakumar (Batu Gajah) sebagai menteri sumber manusia.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS