Azalina Othman Said berkata tumpuan utamanya selepas dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urusan Undang-undang dan Reformasi Institusi) adalah untuk menyemak semula undang-undang yang sudah lapuk serta membuat pindaan yang diperlukan agar ia relevan pada masa ini.
Azalina berkata salah satu contoh adalah pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya untuk memelihara kebebasan budi bicara pendakwa raya.
"Saya juga akan memastikan isu-isu berkaitan undang-undang dan reformasi institusi yang tertunggak, termasuk status kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warga Malaysia, akan diteruskan dan jika perlu, undang-undang sedia ada dipinda untuk mengembalikan hak kesaksamaan kepada rakyat yang terpinggir mengikut lunas-lunas Perlembagaan Malaysia, dan yang tidak diberi layanan sama rata di negara kita," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azalina berkata kerajaan yang baru ditubuhkan akan berdepan banyak cabaran, mengambil kira kesa n wabak Covid-19 dan kemelesetan ekonomi yang dijangka melanda tahun depan.
"Namun begitu, saya amat mengharapkan kerjasama yang baik dengan semua wakil rakyat daripada pelbagai parti untuk menangani cabaran ini," katanya lagi.
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana melantikanya dalam "kabinet perpaduan yang bersejarah".
Dia juga menyuarakan penghargaan kepada Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang "mengetepikan politik kepartian dan menaikkkan tahap politik BN" dengan menghulurkan tangan kepada pihak lawan demi negara.
"Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi di Parlimen Pengerang kerana sekali lagi memberi saya peluang untuk berkhidmat," katanya.
Semalam, Anwar mengumumkan barisan 28 jemaah menteri yang akan menganggotai pentadbirannya. Kesemuanya mengangkat sumpah di depan Yang di-Pertuan Agong hari ini.