Calon jemaah menteri dalam kerajaan sekarang ditentukan oleh parti dan gabungan masing-masing, bukannya ditentukan sendiri oleh perdana menteri, kata Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.
Dia yang juga menteri komunikasi digital menjelaskan langkah tersebut diambil kerana kerajaan menyedari perlunya mereka mengelak kesilapan yang pernah dilakukan oleh pentadbiran sejak 2018.
Mengandaikan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin "lupa" dengan amalan seseorang perdana menteri boleh melantik sesiapa yang dirasakannya sesuai, Fahmi berkata, ketika ini Malaysia ditadbir oleh kerajaan perpaduan.
Kata Fahmi kerajaan semasa ini dibentuk secara bersama dan setiap keputusan penting dibuat secara musyawarah, termasuk dalam isu pelantikan jemaah menteri.
"Ini satu perubahan penting bagi mengelak kesilapan yang berlaku dalam setiap pentadbiran sejak 2018, apabila jemaah menteri seringkali dibuat bukan mengikut saluran pimpinan utama parti," katanya.
Ketika itu, kata Fahmi wujud kelompok-kelompok kartel tertentu sehingga berlaku keadaan "parti dalam parti" dan akhirnya merosakkan kestabilan politik.
"Berbeza daripada tiga pentadbiran sebelum ini - dan menginsafi apa yang pernah terjadi - maka perdana menteri dan ketua parti gabungan dalam kerajaan telah bersetuju bahawa senarai calon jemaah menteri akan ditentukan parti atau gabungan masing-masing," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu semasa mengulas pembentukan kabinet diumum Perdana Menteri Anwar Ibrahim malam tadi, Muhyiddin menganggap ia sebagai sesuatu yang "paling mengecewakan" dalam sejarah negara.
Dia yang juga presiden Bersatu mendakwa Anwar sudah menggadai prinsip tatakelola yang baik seperti yang dijaja semasa kempen pilihan raya umum (PRU) lalu apabika menerima "kleptokrat" dan "cauvinis" dalam kabinet.
Malam tadi Anwar mengumumkan senarai 28 anggota kabinetnya yang diumumkan kira-kira seminggu selepas dia mengangkat sumpah.
Seperti dijangka perdana menteri ke-10 Malaysia itu melantik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengisi salah satu jawatan terkanan dalam kerajaan iaitu timbalan perdana menteri.
Ahmad Zahid yang kini sedang dibicarakan di mahkamah merupakan watak penting yang membawa BN memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.
Fahmi berkata memang menjadi komitmen Anwar dan kerajaan untuk tidak akan sekali-kali mencampuri urusan kehakiman dalam mana-mana kes.
"Muhyiddin, hentikanlah serangan polemik yang mengeruhkan dan yang cuba mengelirukan rakyat.
"Penting untuk kita ingat bahawa Muhyiddin sendiri ada banyak isu yang mungkin perlu diteliti dan ditelusuri kelak, termasuk isu 1BestariNet dan dana RM500 bilion yang dikatakan dibelanjakan sewaktu tempoh pandemik," katanya.