Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua pihak supaya menghentikan provokasi serta tindakan yang menggugat kestabilan sehingga menimbulkan kegusaran rakyat.
Pengerusi BN itu berkata semua pihak harus memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negara.
"Kita yakin kerajaan perpaduan yang terbentuk ini mampu menangani cabaran-cabaran perlu ditempuhi demi kepentingan Malaysia dan rakyatnya.
"Namun dengan syarat semua pihak haruslah menghentikan provokasi dan tindakan untuk mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat.
"Usah diganggu ketenteraman dan perpaduan masyarakat serta usaha kerajaan untuk meningkatkan prestasi ekonomi negara selepas ini," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Malam tadi, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan senarai anggota kabinetnya yang menyaksikan Ahmad Zahid dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
Turut dilantik sebagai timbalan perdana menteri wakil GPS, Fadillah Yusuf.
Ahmad Zahid memegang portfolio kemajuan desa dan wilayah, manakala Fadillah pula perladangan dan komoditi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan perdana menteri melantiknya dan ahli parlimen BN menganggotai kabinet kerajaan.
"Amanah ini bukanlah ghanimah (harta rampasan perang), namun satu taklif iaitu tanggungjawab yang sangat berat dalam suasana ekonomi dunia diramal amat mencabar tahun depan.
"Mari kita bersama sebagai rakyat Malaysia bermuafakat demi masa depan Malaysia yang lebih baik buat semua.
"Kita hentikan ketidakstabilan politik yang telah banyak merosakkan serta merencatkan kemakmuran Malaysia," katanya lagi.