Ketua Hakim Syarie Mohd Na'im Mokhtar yang dilantik menjadi Menteri Agama, merupakan antara muka baru di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Mohd Na'im, 55, juga merupakan ketua pengarah Jabatan Kehakiman Syariah.
Dia dilantik ke jawatan itu pada Mac 2019 ketika Mujahid Yusof menjadi menteri hal-ehwal agama di bawah pentadbiran PH.
Sebelum itu, Mohd Na'im antara lain pernah menjadi Hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor.
Dia merupakan penerima biasiswa Chevening di Universiti Oxford pada 2008 bagi jurusan Pengajian Islam, serta menjadi felo pelawat di Harvard Law School, Universiti Harvard, pada 2013.
Pada Januari lalu, dia terpalit kontroversi apabila disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas dakwaan membuat gangguan seksual terhadap seorang wanita yang sudah berkahwin pada Ogos 2020.
Wanita itu membuat laporan polis, mendakwa dia menemui Mohd Na'im dalam keadaan berbogel di atas katilnya.
Bagaimanapun, Mohd Na'im "menafikan sekeras-kerasnya" perkara itu dan mendakwa terdapat konspirasi oleh beberapa individu dalam Jabatan Kehakiman Syariah untuk menjatuhkannya.
Dia turut membuat laporan polis balas terhadap wanita itu atas dakwaan membuat laporan palsu.
Pada Januari lalu, dia turut memfailkan saman fitnah kepada Lokman Noor Adam selepas bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno menuduhnya membuat gangguan seksual terhadap beberapa wanita, termasuk seorang yang bergelar datin.
Lokman kemudian memadamkan semua hantaran yang dimuat naik di Facebook dan Youtube berkaitan perkara itu.
Saman tersebut selesai pada Mac lalu selepas Lokman memohon maaf dan menyatakan rasa kekesalan atas dakwaan yang dibuatnya.