Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengumuman kabinet: Anwar menteri kewangan, Zahid dan Fadillah TPM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebentar tadi mengumumkan barisan senarai anggota kabinetnya.

Dalam sidang media yang disiarkan secara langsung, Anwar mengumumkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Kanan PBB, Fadillah Yusof - yang mewakli Gabungan Parti Sarawak (GPS) - sebagai timbalan perdana menteri.

Menurut Anwar, Zahid juga dilantik menjadi menteri kemajuan desa dan wilayah manakala Fadillah sebagai menteri perladangan dan komuniti.

Anwar pula memegang portfolio kewangan.

Senarai penuh barisan kabinet itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi untuk diperkenan Tuanku.

Anwar menekankan barisan kabinetnya sebagai jemaah kerajaan perpaduan dan berlandaskan beberapa prinsip untuk merangkumi "kekuatan induk" - iaitu PH, BN dan GPS - serta sokongan pihak lain seperti Warisan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Tiga tunggak ini (PH, BN dan GPS) telah sepakat bukan saja dalam membentuk jemaah menteri, tetapi menetapkan beberapa dasar utama, seperti tata kelola yang baik, dan juga keutamaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

"Kesepakatan ini memungkina kita kemudian untuk melebarkan jaringan kepada GRS, selain Warisan dan Upko yang sedia ada.

"Ini bermakna kekuatan kerajaan perpaduan dalam Parlimen telah mencecah sekitar (majoriti) dua per tiga," katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan penubuhan kumpulan penasihat yang akan membantu kerajaan, khususnya kementerian kewangan.

”Urusan kerajaan khususnya kementerian kewangan akan dibantu oleh beberapa nasihat yang tak akan mengambil upah, yang akan diketuai oleh penasihat (bekas CEO) petronas Hassan Merican,” katanya lagi.

Berikut adalah senarai penuh barisan kabinet:

Perdana Menteri, Menteri Kewangan: Anwar Ibrahim

Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah: Ahmad Zahid Hamidi

Timbalan Perdana Menteri, Menteri Perladangan dan Komuniti: Fadillah Yusof

Menteri Pengangkutan: Anthony Loke

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan: Mohamad Sabu

Menteri Ekonomi: Rafizi Ramli

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan: Nga Kor Ming

Menteri Pertahanan: Mohamad Hasan

Menteri Kerja Raya: Alex Nanta Linggi

Menteri Dalam Negeri: Saifuddin Nasution Ismail

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri: Tengku Zafrul Abdul Aziz

Menteri Pendidikan Tinggi: Khaled Nordin

Menteri Sains dan Teknologi: Chang Lih Kang

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat: Nancy Shukri

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup: Salahuddin Ayub

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi): Azalina Othman Said

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim: Nik Nazmi Nik Ahmad

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi: Ewon Benedick

Menteri Luar Negeri: Zambry Kadir

Menteri Pelancongan: Tiong King Sing

Menteri Komunikasi Digital: Fahmi Fadzil

Menteri Pendidikan: Fadhlina Sidek

Menteri Perpaduan Negara: Ago Dagang

Menteri Agama: Dr Naim Mokhtar

Menteri Belia dan Sukan: Hannah Yeoh

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar

Menteri Kesihatan: Dr Zaliha Mustafa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah Sarawak): Armizan Mohamad Ali

Ketika membacakan senarai menteri, Anwar tertinggal Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar yang dilantik sebagai menteri sumber manusia.

Malaysiakini difahamkan Anwar telah memohon maaf kepada Sivakumar atas perkara itu.

Kabinet baru ini akan mengangkat sumpah pada jam tiga petang esok.

Berdasarkan pengumuman Anwar, seramai 15 menteri adalah daripada PH, dengan lapan dari PKR, diikuti DAP (empat), Amanah (dua) dan Upko (satu).

Sementara itu, BN pula diwakili enam menteri dengan kesemuanya dari Umno, sementara GPS dengan lima menteri. GRS pula diwakili seorang menteri.

Seorang lagi menteri, iaitu Dr Naim Mokhtar yang memegang portfolio agama - bukan dari mana-mana parti. Dia pada masa ini adalah Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS