Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas wartawan TV3 hidap kanser usus mohon bantuan

Seorang bekas wartawan penyiaran TV3 kini sedang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PPUIAM) Kuantan, Pahang kerana menghidap kanser usus.

Zainal Abidin Shamsudin, 61 tahun, mula dimasukkan ke wad pembedahan pusat perubatan itu sejak 28 Oktober lalu bagi mendapatkan rawatan susulan akibat masalah kesihatan.

Dia berkata, kesihatannya mula merosot sekitar bulan September 2019 dan hanya menyedari menghidap penyakit kanser ketika melakukan pemeriksaan kesihatan di Hospital Seremban, Negeri Sembilan.

"Ketika itu saya pulang beraya di kampung asal di Negeri Sembilan sempena cuti hari raya Aidiladha dan pada awalnya saya mengalami cirit-birit.

"Kemudiannya saya ke klinik kesihatan sebelum dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan susulan.

"Semasa di Hospital Seremban, doktor yang melakukan pemeriksaan mendapati saya menghidap kanser usus dan keadaannya sudah agak teruk," katanya ketika dihubungi di Kuantan, Pahang hari ini.

Zainal yang bertugas dengan TV3 antara tahun 1995 hingga 2000 itu memberitahu penyakit kanser usus dihidapinya itu lewat dikesan hingga menyukarkan proses rawatan.

Katanya, dia juga sudah menjalani pembedahan sebelum ini di PPUIAM, namun prosedur itu terpaksa dihentikan berikutan dia turut mengalami serangan jantung ketika pembedahan dilakukan.

"Jadi sekarang saya masih dirawat di PPUIAM, menjalani rawatan dan pemantauan berterusan oleh doktor sejak Oktober lalu," katanya lagi.

Dia yang kehilangan sumber pendapatan sejak disahkan menghidap penyakit itu berharap ada pihak sudi tampil membantu meringankan bebanan kewangan dihadapinya ketika ini.

"Isteri saya, Hamizah Johor tidak bekerja, seorang suri rumah sepenuh masa dan kami ada tiga anak berusia antara 21 hingga 28 tahun.

"Anak sulung saya pula penghidap autisme, manakala dua lagi masih belajar di institusi pengajian tinggi awam, jadi keadaan (kehidupan) kami agak sukar ketika ini," katanya.

Zainal memaklumkan dia ada menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan sejak disahkan menghidap penyakit itu.

Mereka yang ingin menyalurkan bantuan kepada Zainal dan keluarganya boleh berbuat demikian dengan menghubungi 019-913 5547.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS