Beberapa pakar ekonomi berpendapat kenaikan nilai mata wang ringgit Malaysia sekarang adalah bersifat sementara dan masih banyak yang perlu dilakukan kerajaan sebagai persediaan menghadapi kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun hadapan.
Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Wan Azman Saini Wan Ngah, berkata peningkatan nilai wang ringgit berbanding dolar AS memang bersifat jangka pendek.
Katanya ia berlaku susulan pengumuman pelantikan perdana menteri ke-10 Malaysia baru-baru ini.
Menurut Wan Azman dengan pengumuman tersebut ia mencetuskan keyakinan dalam kalangan pelabur asing sekali gus kadar tukaran mata wang ringgit berubah.
“Pelabur juga membeli saham, justeru pada masa yang sama kadar pertukaran mata wang bertambah baik,” katanya kepada Malaysiakini.
Pada masa sama Wan Azman turut mengingatkan orang ramai mengenai jangkaan suasana ekonomi yang buruk pada tahun depan dan diyakini akan memberi kesan kepada negara ini.
Hal itu kerana, tambah Wan Azman, ekonomi Malaysia adalah terbuka dan banyak berkait dengan perkembangan di negara luar.
“Ekonomi terbuka ni maksudnya kita bergantung banyak benda kepada luar iaitu seperti import, eksport dan pelaburan asing, justeru kalau ekonomi negara luar lemah, ia akan memberi kesan juga kepada negara kita.
“Contohnya eksport kita yang merupakan salah satu komponen penting dalam pengiraan keluaran dalam negara kasar (KDNK).
"Kalau ekonomi negara luar seperti China dan AS berada dalam keadaan lemah, mereka akan kurang membeli barang kita dan kesannya, eksport kita merosot,” katanya.
Dibatasi kesan dasar AS
Pakar ekonomi, Barjoyai Bardai, pula berkata perubahan arah dalam tukaran nilai ringgit Malaysia dan saham berlaku perlahan sejak dua minggu lalu lagi dan hanya meningkat sedikit apabila Anwar Ibrahim diumumkan sebagai perdana menteri.
Menurut Barjoyai perubahan itu tidak akan terjadi disebabkan satu orang sahaja sebaliknya berikutan kesan pilihan raya umum yang mencetuskan perubahan sentimen dalam kalangan pelabur.
Keadaan itu, katanya, sudah pun dijangkakan oleh penganalisis ekonomi.
“Kita melihat kenaikan secara berterusan ini merupakan sesuatu positif, tetapi tidaklah menaik secara mendadak.
“Sebenarnya ia menaik tetapi ada hadnya iaitu keadaan dan polisi kewangan di AS.
“Pelabur di Malaysia masih terkesan dan dipengaruhi besar oleh apa yang berlaku di AS.
“Kita boleh menjangkakan nilai mata wang ringgit akan menaik tetapi dia akan dikekang atau dibatasi oleh Rizab Persekutuan AS," katanya merujuk kepada bank pusat negara terbabit.
Bank pusat merupakan unsur penting dalam sistem kewangan sesebuah negara untuk mengawal bekalan wang, kadar faedah, dan matawang nasional.
Kata Barjoyai, dalam masa terdekat rizab persekutuan itu bakal mengumumkan kenaikan kadar polisi semalaman (OPR) mereka dan ia akan menjejaskan semula nilai ringgit Malaysia dipasaran.
Pada 22 Sept lalu bank pusat AS mengumumkan kenaikan 75 mata asas OPR untuk kali ketiga berturut-turut yang membawa kepada penanda aras julat sasaran baru tertinggi sejak krisis kewangan global pada 2008.
Kenaikan itu dianggap langkah paling sukar dilakukan bank pusat berkenaan sejak 1980-an.
Sementara itu bekas pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Kamal Salih, berharap dengan adanya kerajaan baru sekarang ia mampu memulakan langkah memulihkan masalah ekonomi negara ini untuk menghadapi jangkaan kemelesetan pada tahun depan.
“Perlu ada inisiatif baru terutama sekali membentangkan semula belanjawan dalam masa terdekat.
“Melaluinya saya harap kerajaan dapat memberikan inisiatif baru untuk memastikan kita mampu menangani kesukaran ekonomi yang dijangka berlaku pada 2023," katanya.
Kukuhkan pelbagai sektor
Kamal turut berpendapat kerajaan masih mampu memperkenalkan cukai baru seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dilihat lebih baik berbanding cukat jualan dan perkhidmatan (SST).
Bekas Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Anuwar Ali, berkata kemampuan Malaysia untuk menghadapi gelora ekonomi tahun depan banyak bergantung kepada negara luar.
Hal itu kerana, katanya, eksport dan import Malaysia dipengaruhi oleh perkembangan negara lain yang menjalankan aktiviti perdagangan dengannya.
“Disebabkan kita merupakan negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, itu mungkin menimbukan masalah,” katanya kepada Malaysiakini.
Meskipun begitu, Anuwar turut menjelaskan jika Malaysia mampu memperkenalkan polisi menarik negara ini mampu merendahkan kesan kemelesetan tersebut.
“Kita perlu memperkukuh dan meningkatkan beberapa sektor terutamanya pembuatan yang boleh mendorong kepada peningkatan eksport, penggunaan tenaga mahir, penyelidikan dan inovasi.
“Negara kita juga perlu menaik taraf sektor pertanian kerana kita banyak mengimport barang makanan.
“Itu merupakan cabaran menteri baru nanti," katanya.