Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli Parlimen PAS enggan ulas rakaman audio 'tukar kerajaan'

Seorang pemimpin kanan PAS enggan mengulas dakwaan dia adalah pemilik suara dalam rakaman audio yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Malah, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Pusat, Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata dia sendiri tidak dimaklumkan berhubung perkara tersebut dan tidak mendengar sendiri rakaman berkenaan.

"Itu tiada komen," katanya ringkas ketika ditanya sama ada dia merupakan suara dalam rakaman audio dan bercakap mengenai usaha menjatuhkan kerajaan.

Terdahulu, tular rakaman audio didakwa sesetengah pihak sebagai mirip suara Nik Muhammad Zawawi. Dalam rakaman itu individu terbabit meminta jentera parti Perikatan Nasional (PN) terus bersemangat dan bersabar sedikit masa lagi kerana kerajaan sedia ada hari ini tidak akan bertahan lama.

Dalam rakaman audio berdurasi 1.15 minit itu, Nik Muhammad Zawawi berkata apa yang dinyatakan itu berdasarkan daripada ramalannya bersama kepimpinan PN.

"Insya-Allah, peristiwa yang telah berlaku sejak dari ini akan berulang kembali kerana jumlah (kerusi) yang kita (PN) perolehi agak besar dan ramai pihak yang sebenarnya yang tidak mahu bersama-sama dengan DAP dan dengan PKR, Anwar Ibrahim ini.

"Cuma kita bersabar sekejap, insya-Allah kita akan mengorak langkah mengatur strategi-strategi yang baru untuk kita pastikan kerajaan di Malaysia ini akan dikuasai oleh PN. Insya-Allah," katanya dipetik dari rakaman audio berkenaan.

Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi sekali lagi berkata dia tidak mengetahui kewujudan rakaman berkenaan.

"Saya tak tahu," katanya ringkas.

Hak Yang di-Petuan Agong

Bagaimanapun ketika diminta mengulas saranannya berhubung langkah untuk menukar kerajaan itu, Nik Muhammad Zawawi berkata, ia tiada masalah kerana ada caranya mengikut undang-undang.

"Bertukar kerajaan ini mengikut perlembagaan dan mengikut lunas undang-undang demokrasi berparlimen, tiada masalah. Apa yang susah sangat?

"Sebab itu dalam parlimen kita ada undi percaya dan undi tidak percaya, itu biasalah," katanya.

Jelas bekas ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu lagi, dia juga tidak ada masalah dengan pelantikan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim selaku perdana menteri ke-10 dan menerima ketetapan Yang di-Pertuan Agong.

"Saya orang PAS, saya akan jadi pembangkang yang akan semak dan imbang semua sekali, itulah.

"Itu (pelantikan perdana menteri) hak Yang di-Pertuan Agong. Dalam perlembagaan termaktub begitu," katanya.

Selain itu, ditanya sama ada dia perlu membuat laporan polis, Nik Muhammad Zawawi berkata dia mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

"Tengok keadaanlah," tambahnya.

Anwar yang juga Presiden PKR mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ke-10 pada 24 Nov lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS