Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, pada malam tadi menegaskan dia tidak pernah menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.
Menyatakan kesediaannya sekali lagi untuk disiasat polis bekas duta khas bertaraf menteri itu menyerahkan kepada Bukit Aman untuk menjalankan tindakan yang dirasakan wajar.
"Siapa kata (Anwar ejen Israel)? Saya tak kata... kalau saya tak kata, (tetapi) dia (pihak lain) yang kata, terserah dialah," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ceramah sempena Pilihan Raya Kecil Tioman di Rompin, Pahang.
Abdul Hadi mendakwa Bukit Aman sendiri tahu apa yang dikatakan malah ceramahnya juga dirakan pihak berkuasa terbabit.
"Kenyataan media saya pun Bukit Aman baca. Saya kata (atau) tak kata ke, terpulang," katanya.
Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas isu Anwar dituduh menjadi ejen Israel. Ia timbul berikutan rakaman audio tular yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad.
Rakaman tersebut pula mendakwa Hassan bercerita mengenai situasi selepas PRU ke-14 dan memetik nama Abdul Hadi.
Anwar sudah mengarahkan peguamnya memulakan tindakan undang-undang dengan langkah awal menuntut Hassan membuat permohonan maaf tanpa syarat dalam tempoh tiga hari mulai semalam.
Bukit Aman juga memaklumkan mereka sudah memulakan siasatan ke atas Hassan.
Menurut Abdul Hadi, dia memang sedia disiasat polis namun sehingga sidang media dijalankan malam tadi, belum ada mana-mana pegawai Bukit Aman menghubunginya.
"Saya bukan sekali dua dipanggil Bukit Aman. Saya boleh pergi Bukit Aman... tak jadi masalah," katanya lagi.
Untuk rekod pada Okt lalu Abdul Hadi juga pernah menafikan dia menuduh Anwar sebagai ejen atau anggota Freemason.
Isu itu muncul ekoran surat yang ditulis peribadi Abdul Hadi kepada pemimpin gerakan Islam dunia dan mengaitkan Pakatan Harapan dengan dakwaan liberalisme, Zionis dan Freemason.