Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa kasut Louis Vuitton yang dipakainya baru-baru ini adalah hadiah daripada sultan Johor.
Dalam ciapan di Twitter lewat malam tadi, Anwar berkata dia menerima hadiah itu dua tahun lalu.
Anwar memberi penjelasan itu kepada pengguna Twitter @NaratifRakyat yang menyorot bahawa walaupun Anwar enggan menggunakan kereta Mercedez Benz S600 kerajaan, dia memakai sepasang LV Major Loafers yang berharga RM5,500.
"Ia pemberian Tuanku Sultan Johor dua tahun yang lalu. Saudara nak persoal saya tidak mengapa, tapi jangan bawa naratif fitnah," tulis Anwar.
Pakaian Anwar turut menjadi tumpuan sebelum ini selepas dia memakai baju Melayu dan sepasang capal yang dibuat di Kepala Batas, Pulau Pinang pada hari pertama dia hadir di pejabat, Jumaat lalu.
Anwar sebelum ini mendedahkan dia menolak untuk menggunakan kereta Mercedez Benz S600 - yang dibeli oleh pentadbiran terdahulu dan dilaporkan menelan kos RM1 juta - sebagai langkah untuk membudayakan penjimatan kerajaan.
Pengguna media sosial susulan itu menyorot kasut yang dipakai Anwar ketika dia mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.
Fesyen pakaian perdana menteri sebelum ini, Ismail Sabri Yaakob juga sering menjadi bualan netizen, terutama baju jenama mewah Burberry yang sering dipakainya.