Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Anwar Ibrahim memberi tempoh tiga hari kepada Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad untuk membuat permohonan maaf tanpa syarat berhubung hantaran audio di Twitter yang mendakwa kononnya perdana menteri mempunyai hubungan dengan Israel.

Menerusi notis tuntutan yang dikeluarkan hari ini oleh firma guaman SN Nair and Partners kepada ahli parlimen Perikatan Nasional itu, Anwar juga memohon penarikan balik dakwaan hantaran berunsur fitnah bertarikh dua hari lalu.

Menurut salinan surat itu yang dilihat oleh Malaysiakini, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa dia difitnah dalam audio yang dimuat naik oleh pemegang akaun Twitter bernama ‘Mohd Ropi Mat Sin’.

Anwar yang juga adalah presiden PKR berkata audio itu turut dipetik oleh pengguna akaun Twitter bernama ‘Pemikir Malaysia’ yang mendapat tontonan melebihi 431,500 kali, reaksi 'like' melebihi 4,800 kali perkongsian melebihi 3,300 kali dan petikan tweet melebihi 1,400 kali setakat ini.

Anwar mendakwa hantaran itu bukan sahaja memfitnahnya tetapi juga mencemarkan dan mengejek titah Yang di-Pertuan Agong yang telah memperkenankan pelantikannya sebagai perdana menteri.

Ia juga katanya, telah memperkecil-kecilkan kuasa Seri Paduka dan mencabar titah Baginda.

Bagaimanapun, Anwar berkata sekiranya Hassan menafikan sebarang kaitan dengan hantaran itu, maka ahli Parlimen Perikatan Nasional dari PAS itu mempunyai tiga hari untuk memberikan pengesahan am dan bertulis untuk menafikan penglibatannya.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata sekiranya dia tidak menerima sebarang maklum balas dalam tempoh tiga hari bermula hari ini, maka pasukan peguamnya akan menganggapnya sebagai pengesahan pengakuan dan tindakan undang-undang akan dimulakan.

Selain permohonan maaf tanpa syarat dan penarikan balik hantaran itu, Anwar memohon janji bertulis agar Hassan tidak mengulangi dakwaan itu lagi.

Perdana Menteri juga menuntut ganti rugi pampasan yang substantif atas kecederaan teruk ke atas reputasinya dan kos guaman.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam bela Anwar SN Nair mengesahkan notis tuntutan itu telah diposkan hari ini kepada Hassan.

Bagaimanapun ketika bercakap kepada New Straits Times malam tadi, ahli Parlimen PAS itu menafikan sebarang penglibatan dalam rakaman audio video tular berkenaan yang memaparkan seorang wanita mendakwa terdapat pengaruh Israel dalam pelantikan Anwar sebagai perdana menteri.

Akhbar berbahasa Inggeris itu melaporkan Hassan mendakwa dia tidak tahu siapa di sebalik audio itu, sambil menambah bahawa dia akan memutuskan kemudian sama ada akan membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS