Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sarawak harap diberi kuasa autonomi untuk pendidikan

Sarawak berharap kerajaan persekutuan yang baru di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dapat mempertimbangkan untuk memberi kuasa autonomi kepada negeri itu dalam isu berkaitan pendidikan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Roland Sagah Wee Inn berkata perkara itu perlu diberi pertimbangan sewajarnya kerana ia adalah aspirasi semua rakyat Sarawak.

“Kuasa autonomi yang akan diberikan itu hendaklah termasuk perkara dasar dan pelaksanaan. Bagaimanapun, kerajaan persekutuan akan terus menyediakan pembiayaan yang diperlukan,” katanya dalam ucapan penggulungan belanjawan negeri 2023 di Dewan Undangan Negeri Sarawak, di Kuching hari ini.

Dia berkata walaupun pendidikan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, namun kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan dalam hal pendidikan.

Roland Sagah Wee

Ini terbukti melalui pelbagai usaha yang dilaksanakan termasuk meningkatkan pelaksanaan pembangunan fizikal sekolah dan program pembangunan profesional secara berterusan kepada warga pendidik, katanya.

Pada 26 Nov, selepas pertemuan dengan Premier Sarawak Abang Johari Openg, Anwar berkata hubungan antara kerajaan persekutuan dan Sarawak pastinya akan lebih erat dan diperkukuh di bawah kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Sagah berkata pada masa ini tiada kekurangan guru yang kritikal di Sarawak, namun masih terdapat isu mengenai penempatan guru berikutan pengkhususan mata pelajaran dan hal berkaitan keluarga.

“Sudah menjadi dasar membenarkan pasangan mengajar di lokasi yang sama, kita tidak mahu suami mengajar di Lundu, manakala isteri mengajar di Lawas.

“Kita juga telah mencapai nisbah 90:10 guru Sarawak dan guru bukan dari Sarawak. Kita harus berterima kasih kepada kementerian pendidikan atas usaha mencapai nisbah seperti yang diidamkan oleh semua rakyat Sarawak,” katanya.

Sagah juga berkata pembinaan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) akan dimulakan pada separuh pertama 2023 dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS